Tiada kelibat di sesi latihan, dengarnya 'playmaker' JDT ikut jejak langkah Benjamin Mora


  • Podium
  • Khamis, 19 Jan 2023

JDT dijangka akan memberi saingan lebih hebat di bawah kendalian Solari pada musim 2023. — Instagram/Natxo

BERBAKI 36 hari lagi sebelum saingan Liga Super 2023 bermula, setiap kelab sedang sibuk melakukan persiapan dengan membuat latihan pramusim dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain.

Pemenang Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) turut tidak terkecuali melakukan persiapan pramusim di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam.

Menerusi perkongsian di laman media sosial rasmi kelab itu, wajah-wajah pemain baharu juga sudah mulai kelihatan menjalani sesi latihan pertama mereka bersama skuad Harimau Selatan.

Setakat ini pasukan berpangkalan di Selatan tanah air itu sudah mengumumkan lima pemain baharu iaitu Endrick Dos Santos, Diogo Luís Juan Muniz, Oscar Arribas dan penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi.

WhatsApp Image 2023-01-19 at 13.15.17

Diogo antara pemain baharu JDT bagi musim 2023. — Instagram/JDT

Di sebalik keterujaan melihat tonggak baharu dan pemain sedia ada menjalani latihan bersama pengendali baharu Estaban Solari, kelibat playmaker JDT, Natxo Insa tidak kelihatan pada sesi tersebut.

Susulan tidak melihat kehadiran pemain berusia 36 tahun itu di sesi latihan pramusim JDT, ramai penyokong mulai membuat spekulasi bahawa Natxo akan bersara.

Selain itu, ada juga yang berasakan bahawa pemain warisan itu akan meninggalkan skuad Harimau Selatan atas sebab tertentu.

"Masih tidak kelihatan kelibat Natxo Insa. Bersara kot. Apapun jika benar, ada pro dan sedikit kontra. Pro nya adalah membuka peluang kepada pemain-pemain tengah JDT yang lain," kata laman penyokong, Johor Cyber Community.

"Selalu macam itu di JDT, memang pelik.. pemain atau jurulatih tiba-tiba ghaib. Nanti keluar kenyataan pemain atau jurulatih ada masalah keluarga," komen satu lagi penyokong Harimau Selatan, Oshi Oshi.

"Alih-alih kena buang saja, jurulatih sampai pemain hilang macam itu sahaja," tambah penyokong JDT menggunakan nama akaun Zainalosman Zainalisman.

WhatsApp Image 2023-01-19 at 13.15.25 (1)

Penyokong masih tertanya-tanya keberadaan Natxo Insa. — Instagram/Natxo

Dakwaan ada 'masalah keluarga' itu mulai timbul selepas bekas pengendali JDT, Benjamin Mora terpaksa meninggalkan kelab tersebut kerana isu berkenaan.

Pada Julai 2022, Mora meminta untuk dibenarkan pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.

Jika benar Natxo akan meninggalkan JDT kerana masalah peribadi ataupun mengambil keputusan untuk bersara, ia mungkin menjadi peluang untuk pemain lain menyinar terutamanya yang bermain di posisi tengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram