SELEPAS menggungguli kesemua kejohanan di peringkat domestik pada 2022, Johor Darul Takzim (JDT) dilihat masih tidak bercita-cita untuk meneruskan kejayaan yang dikecapi.
Perkara itu dibuktikan sejak pembukaan jendela perpindahan Liga Malaysia apabila pasukan tersebut membawa masuk beberapa pemain bagi meningkatkan kualiti skuad.
Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi serta penyerang kelahiran Brazil, Diogo menjadi antara rekrut baharu yang sesuai dengan perancangan ketua jurulatih, Estaben Solari bagi 2023.
Tidak cukup dengan itu, hampir keseluruhan daripada tonggak utama skuad Harimau Selatan juga berjaya dikekalkan selepas mereka pastinya bersemangat untuk mencatat lebih banyak kejuaraan.
Bagaimanapun, di sebalik nama-nama baharu itu, terdapat beberapa pemain yang masih tidak ditentukan masa depannya bersama kelab Selatan tanah air berkenaan.
Antaranya, bekas penyerang Selangor FA dan Perak FA, Guilherme De Paula apabila kelibatnya semakin dilupakan sejak menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu pada 2021.
Musim lalu, pemain berstatus naturalisasi itu hanya mampu meletakkan dirinya dalam skuad simpanan selepas terdapat lambakan penyerang dalam pasukan utama Harimau Selatan.
De Paula sudah terlalu lama tidak bermain dalam skuad utama JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, hal itu masih gagal untuk mengembalikan sentuhannya di hadapan pintu gol lawan dengan dia tiak menyumbang sebarang gol dalam membantu JDT II bergelar juara Liga Perdana.
Oleh itu, tidak timbul sebarang persoalan apabila terdapat khabar angin bahawa pemain tersebut bakal berhijrah secara pinjaman dengan Sabah FC menjadi antara destinasi yang disebut-sebut.
Tetapi, berdasarkan hantaran sesi latihan di laman rasmi JDT, pemain berusia 36 tahun itu dilihat menyertai sesi latihan dengan memaparkan riak wajah bersemangat.
Perkara itu seakan-akan menggembirakan penyokong Harimau Selatan yang masih mengharapkan De Paula dapat memainkan peranan sebagai pemain senior dalam skuad.
"De Paula ni seolah-olahnya pemilik pasukan, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mempunyai perancangan lain untuknya kerana dia masih dalam skuad walaupun jarang bermain," kata Ijam Mk.
"Kita mungkin pandai bercerita atau mengata, tetapi TMJ sebenarnya pintar membaca pemikiran dan arah pemainnya. Pada saya, memang tidak berkenan pun dengan De Paula, tetapi mungkin ada kunci di sebalik tempatnya dalam JDT," kata Noor Hassan.
"Yang mana mengatakan De Paula supaya tinggalkan kelab, anda perlu ingat bahawa dia dibawa masuk untuk menjadi pembantu pemain simpanan," kata Zach Zarul.
Pada 2022, tanggungjawab menyerang diletakkan di bahu duo penyerang Harimau Selatan, Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad yang berjaya memacu skuad untuk mencatatkan sejarah tersendiri.
Namun, dengan format Liga Super difahamkan akan menjadi lebih mencabar, JDT dijangka memerlukan lebih ramai pemain untuk mengurangkan tekanan terhadap mana-mana pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram