PENYOKONG sukan badminton negara diseru untuk tenang dan percayakan Lee Zii Jia kata pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.
Choong Hann berkata, jaguh perseorangan profesional kebangsaan itu kini mungkin sedang berdepan saat sukar, namun beliau percaya Zii Jia memerlukan masa untuk membuktikan dirinya.
Meskipun atlet berusia 24 tahun itu meninggalkan BAM setahun lepas, beliau berkata, masih terlalu awal untuk menilai pemain nombor dua dunia itu kerana Zii Jia mungkin masih dalam proses memperkukuhkan kedudukan sebagai pemain profesional.
"Kita perlu beri kepercayaan terhadap apa jua keputusan Zii Jia,” kata Choong Hann.
Zii Jia menerima pelbagai kritikan selepas dia tersingkir pada pusingan awal Terbuka Malaysia diikuti Terbuka India baru-baru ini.
Dia sebelum ini tewas kepada pemain meningkat naik Jepun, Kodai Naraoka, 21-13, 17-21, 19-21, dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lepas dan kalah kepada Li Shi Feng dari China dalam pusingan kedua Terbuka India, 11-21, 21-14, 18-21, Khamis lepas.
Choong Hann berkata, juara bertahan Asia itu agak tidak bernasib baik apabila tersingkir awal dalam kedua-dua kejohanan tersebut.
Zii Jia tersingkir awal dalam dua kejohanan berturut-turut.
"Zii Jia mampu menang jika beliau lebih tenang dan tidak melakukan banyak kesilapan pada saat-saat genting,” katanya.
Justeru, beliau berharap juara All England 2021 itu akan memperbaiki beberapa aspek penting dan akhirnya dapat bermain dengan lebih baik daripada prestasi sekarang.
Sementara itu, Choong Hann berpuas hati dengan kemajuan dicapai pemenang perak Sukan Komanwel 2022, Ng Tze Yong, meskipun ditundukkan Naraoka, 21-15, 19-21, 15-21, pada pusingan kedua Terbuka Malaysia diikuti kekalahan kepada Shi Feng, 19-21, 14-21, pada Terbuka India, Rabu lepas.
Meskipun Tze Yong sedang merapatkan jurang dengan perseorangan handalan yang lain, Choong Han berkata pemain nombor 27 dunia itu masih kurang dari segi membuat keputusan pantas ketika beraksi dalam gelanggang.
"Saya rasa beliau menunjukkan kemajuan yang baik dan kami gembira dengan kemajuannya. Bagaimanapun, saya dapat lihat kadangkala beliau keliru apabila lawan cuba mengubah taktik dengan cepat, namun itu akan berubah apabila beliau ada lebih banyak pengalaman perlawanan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram