'Mereka bukan semalam masuk ABM', Michelle tolak alasan tekanan punca tersingkir awal


  • Podium
  • Ahad, 15 Jan 2023

Michelle bagaimanapun sanggup menggalas tanggungjawab untuk menyuntik semula semangat kepada pemain kebangsaan.

KETUA Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai berkata, alasan tekanan yang diberikan segelintir pemain skuad kebangsaan selepas tersingkir awal dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 tidak boleh diterima.

Katanya, terdapat antara mereka yang mengatakan bahawa tidak lagi seronok terlibat dalam sukan tersebut apabila berdepan tekanan daripada ramai pihak.

"Kenapa dulu sebelum jadi juara dunia dan pemain di ranking 10 terbaik boleh tangani tekanan? Mereka bukan semalam baru masuk ABM, ada yang dah lapan tahun,” katanya pada sidang media di Arena Axiata pada Ahad.

Bagaimanapun, Michelle mengakui ia adalah tanggungjawab bersama pemain dan pihak pengurusan ABM untuk mencari jalan untuk mencetuskan kembali perasaan seronok bermain badminton yang diceburi pemain sejak kecil.

Dalam Terbuka Malaysia yang dinaikkan status sebagai Super 1000 tahun ini, pasukan negara tidak mempunyai wakil ke separuh akhir apabila kesemua pemain terkandas di peringkat awal.

Ia termasuk juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta beregu wanita nombor enam dunia Pearly Tan-M. Thinaah.

Aaron-Wooi Yik, yang turun sebagai pemain di ranking ketiga dunia, tewas kepada gandingan keenam dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China pada pusingan kedua.

WhatsApp Image 2023-01-15 at 16.21.49

Aaron Chia dan Wooi Yik terkandas pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023.

Sementara itu, Pearly-Thinaah terkandas seawal pusingan pertama kepada gandingan adik-beradik Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria.

Tambah Michelle, walaupun para pemain ABM tidak mempunyai isu disiplin seperti masalah dalam latihan atau pulang ke penginapan lewat malam, disiplin sahaja tidak cukup untuk menjadikan mereka pemain atau beregu yang hebat di dunia.

Michelle juga menengaskan bahawa dia sedia mengambil tanggungjawab ke atas prestasi tidak konsisten pemain kebangsaan, tetapi pada masa sama menuntut pemain untuk melaksanakan peranan mereka sebagai pemain di ranking 10 teratas dunia.

"Kita tidak berhasrat untuk mendenda mereka, ia bukan penyelesaian yang baik. Kita perlu mencari keseimbangan, bagi memastikan pemain seronok bermain. Menangani generasi pemain sekarang tidak sama seperti 10 tahun lepas, kini ia berbeza,” katanya.

Beliau mengakui bahawa tidak boleh mengharapkan pemain menang dalam kesemua aksi kerana rekod menunjukkan pemain di ranking 20 terbaik dunia tewas pada pusingan 32 dan 16 terakhir daripada 40-50 peratus kejohanan yang disertai, kecuali perseorangan lelaki nombor satu dunia Viktor Axelsen yang berada dalam kelas tersendiri.

Selain itu, perseorangan lelaki nombor 25 dunia, Ng Tze Yong, hampir mengejutkan pemain nombor tujuh dunia dari Jepun, Kodai Naraoka, namun tewas 21-15, 19-21,15-21 pada pusingan kedua selepas pertarungan lebih 120 minit pada Sabtu.

Malaysia's Ng Tze Yong hits a return against China's Weng Hongyang during their men's singles quarter-final match at the Korea Open Badminton Championships in Suncheon on April 8, 2022. (Photo by Jung Yeon-je / AFP)

Tze Yong turut tersingkir pada pusingan kedua di tangan atlet Jepun, Kodai Naraoka.

Dalam aksi beregu campuran pula, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kalah kepada Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis pada suku akhir, manakala Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing tewas kepada bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada pusingan kedua.

"Kami meletakkan sasaran pusingan kedua bagi Tze Yong tetapi beliau terlepas peluang untuk menewaskan Kodai. Walaupun Tze Yong, tua setahun berbanding Kodai, namun kita mendapati beliau hanya bermain 160 kejohanan, berbanding Kodai yang main lebih 200 dan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang mempunyai lebih 400 aksi.

"Jadi kami akan menghantarnya ke lebih banyak kejohanan untuk mendapatkan pengalaman. Bagi beregu campuran, walaupun baru digandingkan, mereka telah tunjukkan aksi yang baik dan bersedia untuk menyerap tekanan,” kata Michelle. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram