TIDAK boleh dinafikan bahawa kecemerlangan benteng pertahanan Negeri Sembilan FC musim lalu berpunca daripada kehebatan dari segi individu dan berkumpulan.
Pengalaman yang dimiliki ketua jurulatih, K Devan dalam membariskan anak-anak buahnya merupakan satu pendekatan yang membuahkan hasil dengan skuad Jang hanya dibolosi sebanyak 26 kali dalam 22 aksi Liga Super.
Dalam setiap perlawanan, pasukan di tangga keempat liga itu dilihat mudah mematahkan serangan lawan dengan kerjasama antara pemain sepanjang 90 minit permainan.
Namun, di sebalik itu, kecemerlangan secara individu juga tidak boleh dipandang rendah, lebih-lebih lagi ketika membincangkan perihal bek tengah pasukan, Ahmad Khuzaimi Piee.
Peka, lasak dan vokal merupakan antara ciri-ciri utama yang dimiliki pemain berusia 29 tahun itu sehingga membolehkan mereka memiliki antara rekod pertahanan terbaik pada 2022.
Jimmy memilih untuk ke Selangor FC selepas satu musim yang sukses bersama Negeri Sembilan FC. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Tidak cukup dengan itu, kemahiran yang dimiliki 'Jimmy' juga boleh disaksikan ketika situasi menyerang apabila dia tenang melakukan hantaran kemas kepada rakan-rakan sepasukan.
Bagaimanapun, jodoh antara pemain itu dan Negeri Sembilan FC tidak bertahan apabila Selangor FC bertindak pantas dengan menyambar khidmatnya untuk musim akan datang.
Meskipun hal tersebut seakan-akan berjaya dihidu ketika pertengahan musim, ia masih sukar untuk diterima majoriti penyokong skuad Jang yang menganggap Khuzaimi sebagai antara tonggak pasukan.
Tetapi, bagi pihak pengurusan pula, perancangan yang rapi sudah berjaya dirancang dengan pengganti sesuai dibawa masuk ketika jendela perpindahan kali ini.
Bekas pertahanan Petaling Jaya (PJ) City FC, Zainal Abidin Jamil merupakan antara rekrut baharu skuad Jang yang bercita-cita besar untuk meneruskan kejayaan mereka musim ini.
Pembubaran The Phoenix menyaksikan pemain tersebut terpaksa mencari majikan baharu untuk meneruskan kariernya dengan beberapa kelab Liga Malaysia lain dikhabarkan berminat untuk mendapatkannya.
Namun, persoalannya, mampukah Zainal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Khuzaimi apatah lagi dengan pengalamannya yang masih terhad dalam sukan tersebut.
Melihat kepada latar belakangnya, terdapat tiga sebab untuk penyokong Negeri Sembilan FC percaya bahawa pemain tersebut mampu mengubati pemergian Jimmy ke skuad Gergasi Merah.
1. Struktur fizikal
Seperti yang dinyatakan di atas, Khuzaimi dianggap sebagai antara pertahanan tengah terbaik dimiliki skuad Harimau Malaya ketika ini adalah kerana kemahirannya untuk membaca gerakan lawan.
Ini termasuk kecekapannya untuk memintas hantaran menggunakan struktur fizikalnya, termasuk bola tinggi yang mudah baginya melakukan sekatan seperti mana yang disaksikan musim lepas.
Bagi Zainal pula, hal tersebut pastinya tidak akan memberi kesukaran untuknya apabila dia juga boleh dianggap sebagai seorang pemain yang berkelebihan dari segi fizikal dengan ketinggiannya mencecah 1.81m.
Ketinggian Zainal (kiri) yang mencecah 1.81m merupakan satu anugerah buatnya. — Instagram/zainal.jamil
Selain itu, badannya yang tegap juga boleh dikatakan sebagai satu keistimewaan, lebih-lebih lagi ketika dia perlu melakukan asakan terhadap penyerang lawan.
Bagaimanapun, seperti yang kerap disaksikan dalam kalangan pemain muda, Zainal dilihat masih kekurangan aspek agresif seperti mana yang menjadi satu kelebihan buat Khuzaimi.
Ia pasti akan menjadi satu ujian kepada Devan dan barisan kejurulatihannya untuk membolehkan pemain kelahiran Pahang itu terus berkembang sekali gus lahir sebagai seorang pertahanan lebih berkualiti.
2. Usia
Berdasarkan perbincangan di atas, Zainal masih memerlukan masa bagi meningkatkan kemampuannya baik dari segi pertahanan mahupun serangan bersama pasukan.
Mujur, usianya yang baru sahaja mencecah 23 tahun boleh disifatkan sebagai satu kelebihan dengan ia mampu dimanfaatkan pasukan dalam mengasah bakatnya.
Di samping itu, pemerhatian sebelum ini mendapati Devan merupakan salah seorang pengendali yang mempunyai pengalaman dalam menyuntik kualiti kepada anak-anak buahnya.
Usia Zainal yang masih muda memberikannya ruang untuk terus berkembang.
Hal tersebut dapat dilihat ketika Khuzaimi mampu digilap menjadi bek yang berkualiti meskipun sebelum ini kerap diletakkan di bangku simpanan atau beraksi bersama pasukan-pasukan kerdil.
Jadi, dengan Zainal yang masih boleh dikategorikan sebagai pemain muda, ia bakal menjadi satu platform terbaik untuk mengembangkan lagi kebolehannya di atas padang.
Tetapi, dia juga perlu memahami bahawa pengendali berusia 55 tahun itu merupakan seseorang yang tegas dan ia bakal menjadi satu ujian buat pemain berkenaan jika dia mahu terus mengumpul pengalaman.
3. Matang dalam Liga Super
Walaupun usianya masih baru sahaja mencecah 23 tahun, pengalaman yang dimiliki Zainal dalam penampilan bersama kelab bukanlah sesuatu yang boleh dipandang rendah.
Selepas memulakan kariernya bersama Felda United pada 2019, dia mengambil keputusan untuk menyertai PJ City FC yang ketika itu berada di Liga Super.
Meskipun sedikit bergelut untuk mendapatkan kepercayaan ketua jurulatih pada awalnya, pemain tersebut tidak mensia-siakan peluang dengan terus membuktikan kemampuannya.
Berdasarkan statistik pada 2022, Zainal boleh dianggap sebagai antara tonggak The Phoenix apabila dia hanya tidak diturunkan dalam lima perlawanan Liga Super.
Zainal (kiri) memilih untuk ke PJ City FC pada 2021 bagi mendapatkan pengalaman. — Facebook/PJ City FC
Hal tersebut membolehkannya meraih lebih banyak pengalaman, sekali gus mengembangkan sayapnya sebagai salah satu prospek terbaik dimiliki Harimau Malaya ketika ini.
Selain itu, dalam kesemua penampilan berkenaan, Zainal merekodkan beberapa aksi terbaik dengan membantu pasukan Lembah Klang itu mencatatkan lapan 'clean sheets' sepanjang musim.
Jadi, ia menunjukkan bahawa dia mempunyai potensi untuk terus berkembang dengan Negeri Sembilan FC juga perlu memastikan bakatnya tidak disiakan-siakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram