SELEPAS Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melengkapkan barisan kejurulatihan dan pemain menerusi satu pengumuman yang dibuat oleh pemiliknya, Tan Sri Mohd Daud Bakar baru-baru ini, Selangor FC pula mengikut jejak langkah dengan memperkenalkan posisi yang ditunggu-tunggu peminat.
Tentunya posisi itu ialah pembantu kepada Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe yang menyertai skuad Gergasi Merah terlebih dahulu pada musim lalu sebelum memacu kelab itu untuk memperoleh beberapa siri kemenangan sebelum musim 2022 melabuhkan tirai.
Pengumuman Ramon Marcote sebagai pembantu Cheng Hoe menggamatkan landskap bola sepak tempatan, sementelah kedua-duanya pernah mengemudi skuad Sang Kenari pada tahun 2018.
Marcote (kiri) bersama Cheng Hoe (kanan) ketika bersama membimbing skuad Kedah pada 2015.
Marcote sebelum ini pernah bekerjasama bersama Cheng Hoe pada tahun 2015 sebagai Jurulatih Kecergasan dan nama beliau sebenarnya amat sinonim dalam kalangan peminat pasukan Hijau Kuning.
“Pemilik lesen kejurulatihan UEFA Pro ini merupakan bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid pada tahun 2016/2017.
"Selain itu, beliau juga pernah membimbing skuad remaja kelab gergasi di Arab Saudi, Al Hilal bawah 15 tahun pada tahun 2021/2022 sebelum ke Ethnikos Achnas di Cyprus sebagai jurulatih," katanya.
Menurut kenyataan Selangor FC, Nidzam Jamil dan Ramón Marcote akan bekerjasama bagi membantu Cheng Hoe menyusun strategi dalam memperbaiki kelemahan serta memperkukuhkan kekuatan pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia 2023.
“Pada masa yang sama, Selangor juga telah membawa masuk seorang lagi wajah baharu bagi membarisi barisan kejurulatihan pasukan, Fouzi Mukhlas yang menggalas tanggungjawab sebagai Jurulatih Penjaga Gol musim ini,” katanya.
Ramon diperkenalkan sebagai Pembantu Ketua Jurulatih Selangor FC. — Facebook
Penyertaan Ramon membuatkan ramai peminat bola sepak khususnya penyokong Selangor FC teruja kerana gandingannya dengan Cheng Hoe pasti akan mengembalikan corak permainan tiki taka yang cukup sinonim dengan mereka berdua.
Corak permainan tiki-taka itu bukan sahaja menghiburkan malah terbukti sangat berkesan sehingga membawa Kedah menjuarai Piala Malaysia pada 2016.
"Tiki taka rumba is coming. TCH (Cheng Hoe) dengan Marcote bersatu kembali. Mesti power Selangor FC musim ini," komen Ixhat2045.
"Selangor bagai jelmaan Kedah pada tahun 2017. Selangor akan padu lepas ni," kata Its Nikkkk pula.
Sementara itu, Ridhwan95 pula berpendapat The Red Giants pasti akan memberikan saingan cukup sengit kepada kelab lain terutamanya Top 5 dalam Liga Malaysia seperti Johor Darul Takzim, Terengganu FC, Sabah FC, KDA FC dan Negeri Sembilan FC.
"Deadly duo dalam Liga Malaysia. Kedua-duanya mempunyai persefahaman yang baik dan semangat berpasukan yang tinggi.
"Selangor mesti padu. tengok sajalah nanti. Kedah dah merasa hasil air tangan dua orang ini. Memang terbaik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram