Nasib Farizal mula dipertikai, disamakan dengan penjaga gol Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Kedudukan Farizal Marlias dikatakan bakal disaingi rapat dengan kemasukan Syihan Hazmi ke pasukan JDT. — FAM

PENJAGA gol kebangsaan, Syihan Hazmi akhirnya menjawab segala persoalan dan spekulasi berkaitan destinasi kariernya apabila disahkan menyertai juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Takzim untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkara itu diumumkan JDT menerusi laman Facebook rasmi, Johor Southern Tigers pada Jumaat.

Untuk rekod, Syihan Hazmi mula dikenali selepas mempamerkan aksi bermutu tinggi bersama pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super 2022 apabila merekodkan tujuh perlawanan tanpa bolos dan hanya melepaskan 26 gol daripada 22 perlawanan.

Namun, kemasukan pemain itu ke pasukan Harimau Selatan sedikit sebanyak mengundang kerisauan peminat terhadap prestasi seorang lagi penjaga gol berpengalaman negara, Farizal Marlias.

Dalam erti kata lain, pemain berusia 36 tahun itu dikatakan bakal disaingi rapat Syihan yang dilihat lebih berpotensi untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama memandangkan usianya yang jauh lebih muda iaitu 26 tahun.

Tidak dinafikan, jurang perbezaan umur bukanlah penghalang buat Farizal mengekalkan posisinya sebagai penjaga gol utama namun, rata-rata peminat seolah-olah sudah boleh menghidu skrip penceritaan yang bakal berlaku dalam pasukan elit itu nanti.

"Memang akan wujud persaingan antara Farizal dan Syihan selepas ini, makin merudum la persembahan dia nanti sebab usia pun jauh beza," kata Azman Halim.

"Nasib Farizal terletak pada gaji, walaupun diperam sekali pun, dia masih bergaji tinggi berbanding bermain di pasukan lain," ujar Incik Aremier.

Penyokong JDT sudah mula menyuarakan pendapat masing-masing berhubung perkara itu dan prestasi Farizal dikatakan bakal terancam dengan kehadiran bekas penjaga gol Negeri Sembilan itu.

syihan

Syihan Hazmi diumumkan sebagai pemain baharu skuad JDT pada musim depan. — Facebook/JDT

Dalam pada itu, situasi tersebut bukan satu perkara yang baharu terjadi dalam sesebuah pasukan apabila beberapa lagi pemain ternama sebelum ini turut menerima nasib yang sama dengan perkara itu boleh dikaitkan dengan bekas penjaga gol sensasi Kedah FC, Ifwat Akmal.

Perjalanan getir yang bakal dilalui penjaga gawang utama skuad Sang Kenari itu boleh dikatakan mirip dengan apa yang sedang berlaku pada Farizal ketika ini.

Ifwat yang dahulunya merupakan pilihan utama jurulatih dikatakan akan terjejas kedudukannya selepas kehadiran Kalamullah Al-Hafiz ke Kedah ditambah pula dengan pengalaman berharga yang dimilikinya di Piala AFF baru-baru ini.

Walaupun langsung tidak beraksi sepanjang kejohanan Piala AFF lalu, rekod cemerlang Kalamullah bersama bekas pasukannya PJ City FC pada musim lepas tidak boleh dipandang remeh dengan 21 penampilan berjaya diperoleh pemain kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu.

Sering dikaitkan dengan saiz serta berat badan yang kurang ideal bagi posisi penjaga gol, Ifwat sekali lagi dihentam di laman media susulan kehadiran Kalamullah yang dikatakan lebih bersesuaian jika digantikan sebagai pemain utama pada musim depan.

"Ifwat ni kalau makan lagi banyak tak tahu la nak kata, memang melantun je nanti, sekarang tak cukup bulat lagi itu yang kena peram dekat Kedah," kata Bayang Yang Hilang.

"Dia ni satu je yang aku suka kalau bola depan atau satu lawan satu memang bagus tapi kalau bola terbang tinggi di udara payah dia nak tangkap sebab badan berat," ujar Mohamed Mad.

ifwat

Ifwat Akmal merupakan penjaga gol utama skuad Sang Kenari pada musim lepas. — Facebook/KDA FC

Justeru, situasi kedua-dua pemain itu boleh dikatakan hampir serupa dengan kemasukan pemain baharu dilihat akan menjejaskan segala kebolehan dan persembahan cemerlang yang ditampilkan pada musim-musim lepas.

Usia bukanlah penghalang besar dalam situasi ini namun penampilan di atas padang bakal memberikan impak besar terhadap reputasi seseorang pemain itu selain kepercayaan peminat juga akan semakin berkurangan terhadap mereka.

Namun, masih terlalu awal untuk kedua-duanya dinilai dengan Liga Super musim depan bakal menjadi saksi dan medan buat semua pemain membuktikan kebolehan diri masing-masing sekali gus menafikan dakwaan warganet di laman media selama ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram