SELEPAS melakukan perubahan secara besar-besaran terhadap pasukan, Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat semakin bersedia untuk bersaing dalam kancah Liga Super 2023.
Aktiviti ketika jendela perpindahan pertama musim ini cukup memberangsangkan dengan kelab tersebut cukup berani untuk melakukan pelaburan demi kebaikan skuad.
Oleh itu, dalam usaha untuk melakukan penilaian awal terhadap pasukan, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum permulaan musim.
Pertembungan bersama kelab amatur, Perlis United pada Jumaat menjadi medan ujian pertama bagi membina keserasaian antara satu sama lain di samping memberikan peluang kepada nama-nama baharu untuk membuktikan kebolehan mereka.
Seperti yang dijangkakan, hampir kesemua pemain yang diturunkan beraksi dengan cukup baik sehingga membantu KDA FC mencatat kemenangan selesa 4-0 di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Namun, dalam kalangan pemain-pemain baharu itu, penyerang import, Willian Lira berjaya menambat hati penyokong Hijau Kuning dengan sentuhan berkualiti sepanjang berada di atas padang.
Di samping mampu menjaringkan gol menerusi tandukan deras, pemain kelahiran Brazil itu juga berkebolehan untuk melakukan bantuan gol yang disudahkan penyerang sayap, Al-Hafiz Harun.
Satu gol dari Willian Lira membantu KDA FC benam Perlis United 4-0 dalam perlawanan persahabatan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Hal itu semestinya cukup menggembirakan dengan rata-rata penyokong mula berasa senang hati dengan kemampuan yang dipamerkan Willian meskipun ia hanya aksi persahabatan.
"Boleh tahan Willian Lira ni. Kalau diberikan lagi masa dan peluang oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain, pasti dia akan menjadi lebih baik," kata Karim Al-Maliki.
"Syukur, dapat juga tengok orang lain di posisi menyerang. Musim lepas, nampak Pak Ngah macam kurang menyengat sikit, harapnya Willian Lira akan terus menyinar," kata Encik Ahmad.
Musim lepas, penyerang tersebut beraksi bersama kelab divisyen bawahan Jepun, Ventforet Kofu dengan dia berjaya menjaringkan sembilan gol dalam 39 penampilan.
Selain itu, kehadiran Willian bersama pasukan tersebut juga membuahkan hasil apabila mereka mengejutkan ramai pihak dengan menjulang Piala Emperor 2022, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan berpuluh tahun kelab itu.
Kehadiran pemain berusia 29 tahun itu juga dijangka akan membawa perubahan kepada kualiti jentera serangan Sang Kenari yang sebelum ini sedikit tumpul sepanjang 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram