SEJAK pertengahan musim Liga Super 2022 lagi, penyokong bola sepak tempatan sudah disajikan dengan khabar angin yang mengatakan Johor Darul Takzim (JDT) akan terus berbelanja.
Meskipun berjaya muncul juara dalam kesemua kejohanan di peringkat tempatan, ia tidak menghalang pihak pengurusan untuk terus membina skuad yang lebih mantap untuk 2023.
Baru-baru ini, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu sekali lagi menjadi bahan bualan selepas mengumumkan kehadiran penjaga gol baharu, Syihan Hazmi.
Bekas pemain Negeri Sembilan FC itu berjaya mencipta nama selepas merekodkan tujuh perlawanan tanpa dibolosi daripada 22 penampilan dalam saingan liga.
Selain itu, kecemerlangan penjaga gawang berusia 26 tahun terbabit juga diteruskan ketika mewakili skuad kebangsaan dengan membantu negara layak ke Piala Asia 2023.
Jadi, kehadirannya ke Selatan tanah air merupakan satu pendekatan yang baik apatah lagi dengan prestasi kapten pasukan, Farizal Marlias semakin merudum.
Tinjauan di ruangan media sosial turut mendapati majoriti penyokong berpuas hati dengan keputusan Syihan untuk berhijrah, termasuk penyokong Negeri Sembilan FC.
Hal itu adalah kerana mereka bertegas kariernya akan semakin berkembang di samping berpeluang untuk memperolehi lebih banyak pencapaian bersama JDT.
Syihan tidak pernah beraksi bersama Kelantan FC walaupun pernah terikat dengan pasukan Pantai Timur itu.
Namun, satu perkara yang mengundang perhatian adalah apabila penyokong Kelantan turut serta meraikan penghijrahan pemain berketinggian 1.84m itu.
Walaupun tidak pernah bermain untuk skuad The Red Warriors (TRW) secara kompetetif, statusnya sebagai anak jati negeri tersebut sudah cukup untuk membanggakan mereka.
"Anak jati Johor jaga bola sepak Kelantan, anak jati Kelantan pula jaga gawang gol Johor. Johor dan Kelantan sememangnya bersaudara," kata Khairul Faizi Bin Omar.
"Tak boleh nak salahkan Syihan juga kerana dia mahu cari makan. Kalau ikut logik, tidak mungkin seseorang itu akan tolak jika sesebuah syarikat menawarkan gaji lebih. Selamat maju jaya Syihan dari bumi kelahiran anda," kata Muhammad Danish.
Ketika ini, Kelantan FC juga dilihat sedang giat mendapatkan pemain baharu selepas muncul sebagai naib juara Liga Perdana, sekali gus meletakkan mereka dalam divisyen teratas bola sepak tempatan.
Mereka difahamkan sedang berusaha untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan dengan penjaga gol JDT II, Rozaimi Rohamat juga menjadi sasaran pihak pengurusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram