MUSIM ini, Sri Pahang FC dilihat membuat rombakan besar-besaran dengan membuang beberapa pemain dan membawa masuk wajah-wajah baharu dalam skuad Tok Gajah bagi menghadapi saingan Liga Super 2023.
Antara pemain baharu Sri Pahang musim ini ialah Fadhli Shas, Syazwan Andik, Azril Nasrulhaq, Izham Tarmizi, Aqil Arazi, Lokman Bah Din, Adam Malique dan tiga tonggak import Michael Glassock (Australia), Lucas Espindola (Brazil) serta Stefano Brundo dari Argentina.
Selain itu, seramai 10 orang pemain pula dilepaskan oleh pengurusan Sri Pahang iaitu penjaga gol import Mali, Mamadou Samassa; Steven Rodriguez, Sean Giannelli, Daniel Wafiuddin Sa'dun, Fandi Othman, Hasnul Zaim Zafri, Nur Izzat Che Awang, Shahrul Aizad Zulkifli dan Mior Dani Armin Mior Ariffen.
Pasukan Sri Pahang juga dilihat membuat persediaan dengan membuat perlawanan persahabatan pramusim dengan menentang kelab dari Liga Amatur, YPM FC dan Frenz Rovers FC.
Dalam siri persahabatan itu, skuad Tok Gajah dengan mudahnya berjaya menewaskan kedua-dua kelab tersebut dengan jaringan besar 8-0.
Menerusi perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga Super itu, gerak-geri seorang pemain baharu skuad Tok Gajah, Lokman Bah ternyata mencuri perhatian penyokong.
Lokman Bah (kiri) sewaktu sesi latihan bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang
"Dengar cerita Lokman Bah mencuri perhatian ramai petang tadi, ada yang tengok live? Laju menggelecek dan jaringkan satu gol," tulis kata penyokong Sri Pahang, TokGajah.com.
Pemain berasal dari Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis, Pahang itu melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama orang asli yang menyertai skuad Tok Gajah.
Penyerang muda berusia 20 tahun itu sebelum ini menimba pengalaman bersama skuad Projek FAM-MSN pada 2021, selain pernah bersama skuad Piala Presiden Pahang.
Cuma pada masa sama, penyokong Sri Pahang berasa risau jika Lokman Bah memberikan pretasi yang sangat cemerlang bersama skuad Tok Gajah pada musim ini.
Penyokong Tok Gajah tidak menolak kemungkinan bahawa anak jati Pahang itu akan mengulangi tindakan pemain import, Manuel Hidalgo sekiranya Lokman Bah menyinar musim ini.
Sebelum berhijrah ke Kedah Darul Aman (KDA) FC musim 2023, Hidalgo mempunyai baki kontrak selama satu musim namun difahamkan pengurusan Sang Kenari menebus kontrak tersebut dengan jumlah nilai yang cukup besar.
"Jangan cerita, nanti ada yang tebus kontrak," komen penyokong, Syamsul Rizal.
"Tolonglah jaga elok-elok. Bila dah naik nanti jangan kisah lama berulang berkali-kali," kata seorang lagi penyokong, Idosh Zaharin.
"Yang okay ini bagilah main dua tiga musim, jangan apa tak mula lagi dah kena rembat," kata seorang lagi penyokong Tok Gajah, Abu Khuzaifah Abu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram