Bekas atlet pecut kebangsaan meninggal dunia pada hari jadi akibat kanser payudara


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Anita Ali dilaporkan meninggal pada petang Khamis akibat kanser payudara. — Bernama

BEKAS pelari pecut wanita negara, Anita Ali dilaporkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur di usia 59 tahun, pada Khamis.

Berita pemergian atlet yang pernah beraksi pada Sukan SEA era 80-an itu dikongsi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Beliau semasa dihubungi berkata, arwah meninggal dunia kira-kira pukul 7.15 petang Khamis akibat kanser payudara dialaminya sebelum ini, yang merebak ke hati dan tulang belakang.

"Pada Disember lepas, arwah dimasukkan ke PPUM, dan pihak YAKEB membawa beliau ke hospital swasta untuk imbasan tomografi pancaran positron (PET) dan kanser beliau didapati semakin parah.

"Beliau bersungguh-sungguh melawan kanser, namun meninggal dunia pada hari kelahirannya pada Khamis,” katanya.

Noorul Ariffin berkata, pemergian Anita yang pernah beraksi pada Sukan Asia di China pada 1990 itu disifatkan sebagai kehilangan besar buat arena olahraga tanah air.

Katanya, Anita yang merupakan ahli Yakeb, banyak memberi nasihat kepada atlet muda untuk terus mengharumkan nama negara.

Pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Anita yang ketika itu berusia 21 tahun bersama gandingannya G. Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Datuk Mumtaz Jaafar memperbaharui rekod kebangsaan acara 4x100 meter dengan catatan 45.37 saat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram