Aksi longlai di Piala AFF, Safawi diramal terima nasib serupa 3 rakan di pentas Liga Thai


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Safawi Rasid bakal berkelana ke pasukan Ratchaburi FC yang beraksi di liga divisyen satu Thailand.

PERSEMBAHAN kurang memberangsangkan yang dipamerkan penyerang sensasi negara, Safawi Rasid dalam Piala AFF baru-baru ini mengundang 1001 persoalan peminat yang risau akan prestasi pemain itu.

Pemain Johor Darul Takzim yang bakal berkelana ke Liga Thailand bersama pasukan Ratchaburi FC itu nanti dikhuatiri bakal mengikut jejak tiga lagi rakan senegara yang pernah berkelana dan beraksi di liga tersebut.

Tidak dinafikan kancah liga bola sepak di negara Gajah Perang itu tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan negara rantau Asia Tenggara, namun melihatkan beberapa pemain tanah air yang pernah mengambil langkah serupa, ia nyata mengundang kerisauan buat peminat pemain kelahiran Terengganu itu.

Gagal membantu skuad kebangsaan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala AFF, cabaran Malaysia di kejohanan itu berakhir di pusingan separuh akhir selepas tewas kepada pasukan Thailand dengan keputusan 0-3.

Kekalahan itu sekali gus mencemarkan nama baik Safawi selaku pemain berpengalaman yang tersenarai dalam skuad Kim Pan-gon kali ini.

mas

Skuad Malaysia ketika beraksi di Piala AFF baru-baru ini. — FAM

Ada pihak berpendapat penghijrahannya ke Liga Thai disebabkan hasutan rakan senegara dan desakan gaji lumayan, namun sekilas pandang, perkara itu boleh dikaitkan dengan beberapa pemindahan pemain tempatan yang beraksi di negara tersebut sebelum ini.

"Silap Safawi ni kejar duit sangat ataupun termakan hasutan kawan-kawan yang pernah beraksi di negara Thai, negara jiran bukan kisah sangat soal stamina pemain kita, tengok Sumareh sekarang apa sudah jadi," jelas Azuan Azuan di Facebook.

Tidak dinafikan bahawa JDT merupakan sebuah kelab elit yang menawarkan gaji lumayan buat pemainnya, namun melihatkan prestasi merudum Safawi kebelakangan ini, berkemungkinan kontraknya tidak akan disambung dan sekali gus merencatkan punca pendapatannya sekiranya beraksi bersama pasukan lain, apatah lagi jika di liga bawahan.

Tiga lagi pemain tempatan yang pernah mencetuskan kontroversi susulan penghijrahan mereka ke liga Thai adalah, Mohamadou Sumareh, Shahrel Fikri dan Liridon Krasniqi.

suma

Mohamadou Sumareh

Pemain naturalisasi negara ini pernah beraksi bersama kelab Police Tero FC di Liga Thai pada musim 2020.

Namun, sepanjang empat bulan mewakili pasukan itu, Sumareh hanya membuat empat penampilan bersama kelab tersebut dan prestasinya juga dikatakan kurang memberansangkan seperti mana yang dipamerkan bersama skuad kebangsaan sebelum ini.

Kelab Thailand yang diberi jolokan 'The Silver Shields Dragons' itu memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak jangka pendek pemain itu sebelum beliau meneruskan karier bola sepaknya bersama JDT pada tahun berikutnya.

Namun, sehingga kini kebolehan serta kelincahan pemain itu kian merudum dan tiada penambahbaikan yang dihasilkan oleh pasukan Harimau Selatan sepanjang beliau diambil bermain.

shahrel

Shahrel Fikri

Selain itu, pemain kelahiran Tawau, Sabah ini juga melebarkan sayapnya ke Liga Thai apabila mewakili pasukan Nakhon Ratchasima FC pada tahun 2018.

Persembahan Shahrel Fikri sepanjang di Liga Thai boleh dikatakan agak seimbang dengan 12 penampilan dimiliki dan dua gol berjaya dihasilkan pemain tersebut. Namun sebaik kembali ke tanah air, harapan peminat untuk menyaksikan bintang Perak FC itu menyinar musnah apabila corak permainannya semakin merosot dengan penyudahnya juga dikatakan kian tumpul.

Pemain yang mesra disapa Eky itu kemudiannya beraksi bersama Selangor FC sejak musim 2021 namun, tahun pertamanya bersama kelab Lembah Klang itu tidak berjalan lancar apabila mengalami kecederaan retak tulang fibula di betis yang memaksa beliau melupakan aksi saingan liga pada musim tersebut.

Musim 2022 menyaksikan Shahrel Fikri menjadi pilihan kedua di belakang penyerang import, Caion dan perkara itu nyata menyukarkan beliau untuk tampil mempamerkan prestasi sebenar apabila hanya menjaringkan satu gol dalam 19 perlawanan yang dihadapi.

liridon

Liridon Krasniqi

Sejak bergelar pemain naturalisasi negara, Liridon sehingga kini belum berjaya menampilkan aksi terbaik bersama skuad Harimau Malaya seperti mana yang diharapkan oleh peminat bola sepak tempatan.

Perjalanan karier bersama JDT juga agak mendukacitakan meskipun pernah dipinjamkan ke Newcastle Jets (Australia), Odisha FC (India FC) dan Khon Kaen United (Thailand) sebelum ini.

Digugurkan daripada skuad Harimau Malaya yang berjuang untuk layak ke Piala Asia 2023 pada awal Jun lalu, ia sekali gus menunjukkan prestasi pemain itu tidak berada di tahap terbaik kebelakangan ini.

Justeru, rata-rata peminat tempatan enggan menyaksikan seorang lagi penyerang 'emas' negara, Safawi Rasid berhadapan situasi sama.

Melihatkan skrip pemain terdahulu, rata-rata pemain yang pernah berkelana ke negara jiran pulang dengan kegagalan dan kekecewaan.

Diharap Safawi mengambil ikhtibar atas segala isu yang melanda rakan senegaranya sebelum ini dan sekali gus memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang bakal dimilikinya bersama pasukan Ratchaburi FC musim depan seperti nasihat penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli supaya pemain memilih antara makan gaji buta atau kerja keras untuk mengisi kesebelasan utama pasukan yang diwakili. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram