'Hanya pilih pemain, coach belum lagi', Zamsaham perjelas 3 isu bikin fans TRW gelisah


  • Podium
  • Khamis, 12 Jan 2023

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedang merangka strategi terbaik buat pasukannya menjelang saingan musim depan. — Facebook/Zamsaham

PASUKAN Kelantan FC telah mengumumkan beberapa muka baharu yang bakal mengharungi saingan Liga Super musim depan dan terbaharu, pemain pertahanan Gerald Gadit dibawa masuk ke pasukan itu.

Tidak dinafikan senarai pemain The Red Warriors (TRW) kini hampir lengkap dengan hanya beberapa kekosongan pemain import yang masih belum diumumkan pengurusan kelab terbabit setakat ini.

Namun, apa yang menjadi tanda tanya peminat adalah identiti jurulatih pasukan itu yang masih belum diketahui sehingga ke hari ini dan segala proses pemilihan pemain turut dipertikaikan kerana tidak dipersetujui sama oleh barisan kejurulatihan.

Hal urusan pemilihan pemain setakat ini difahamkan hanya diuruskan oleh pengendali pasukan itu, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sementara menanti kehadiran ketua jurulatih yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Menerima kecaman dan spekulasi dalam kalangan penyokong TRW, Zamsaham baru-baru ini memuat naik penjelasan berkenaan isu tersebut di laman Facebook peribadinya.

lan

Kecemerlangan Kelantan FC dalam Liga Perdana musim ini menggembirakan penyokong TRW Facebook/TRW Kelantan FC

Menurutnya, beliau menjelaskan bahawa tugas utama seorang jurulatih adalah menggunakan kepakarannya dalam merencana taktikal dan strategi dengan pemain sedia ada.

Ketua jurulatih bebas untuk mencadangkan pemain yang diminati dan boleh menjadi penasihat kepada beliau namun segala keputusan terletak di tangannya.

"Jurulatih itu sendiri dipilih dengan nilai gajinya juga saya yang tentukan, kalau bukan saya yang tentukan siapa lagi nak buat keputusan.

"Pendek cerita ketua jurulatih perlu gunakan semua pemain yang sedia ada dan di situlah kepakarannya ditagih selain jurulatih juga bebas mencadangkan pemain mana perlu kekal, dibuang atau diganti dengan yang baharu," ujarnya di laman Facebook.

Dalam pada itu, beberapa isu turut dibangkitkan oleh pemilik pasukan Kelantan itu berhubung ketidakpuasan hati penyokong yang gusar dengan pemilihan pemain yang ditentukan oleh beliau sendiri.

1. Jurulatih bersekongkol dengan pemain

Tidak dinafikan bahawa posisi jurulatih dan pemain terdiri daripada tugas yang berbeza namun kedua-duanya masih bernaung dan menerima gaji di bawah kelab sama.

Hal itu sedikit sebanyak boleh mengundang isu rasuah ataupun 'duit kopi' yang mungkin berlaku dalam kalangan pemain dan jurulatih atas dasar merebut kepentingan masing-masing.

Ideologi itu mudah jika dilihat dari sudut pemain yang jarang diturunkan sebagai kesebelasan utama apabila wang ringgit mungkin dijadikan cagaran dalam situasi itu.

2. Pemain pilihan sama

Persaingan merebut tempat di kesebelasan utama sememangnya menjadi rebutan pemain dalam setiap perlawanan dengan harapan ia mampu meningkatkan lagi mutu persembahan individu itu.

Namun, isu 'favarotism' dalam kalangan pemain juga turut menjadi masalah utama dalam sesebuah pasukan apabila muka yang sama sahaja yang akan diturunkan dalam setiap perlawanan.

Maka tidak hairanlah ada pemain yang hanya mencatatkan jumlah penampilan yang sangat kecil berbanding sesetengah pemain yang lebih kerap disenaraikan sebagai barisan utama.

Maka, bangku simpanan akan menjadi tempat dan lokasi bagi mereka yang terkesan dengan situasi tersebut.

3. Pertukaran jurulatih

Pemilihan pemain oleh jurulatih dilihat ada baik dan buruknya.

Keburukannya boleh dirungkaikan apabila persembahan yang dipamerkan seseorang pemain itu tidak memenuhi kehendak dan perancangan jurulatih itu.

Jika kurang memberansangkan, ia bakal mendatangkan kesan mendalam buat jurulatih tersebut yang mungkin akan menyebabkannya tarik diri ataupun meletak jawatan secara mengejut.

Menurut Zamsaham, perkara itu secara tidak langsung akan menyebabkan keseluruhan taktikal dan corak permainan pasukan terpaksa digubal dengan kehadiran jurulatih baharu yang bakal digantikan nanti.

Dalam pada itu, berdasarkan perkhabaran yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Kelantan FC baru-baru ini, ketua jurulatih dan juga jurulatih kecergasan pasukan itu akan diimport dari negara Korea Selatan.

Berita itu nyata membuatkan penyokong tidak senang duduk dengan beberapa nama sudah mula meniti di bibir peminat.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang maklumat lanjut dikongsikan oleh pengendali pasukan itu dan peminat diminta bersabar dengan segala perancangan terbaik yang sedang dilakukan pasukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram