MENJELANG saingan Liga Super Malaysia 2023 yang bakal membuka tirai tidak lama lagi, Selangor FC dikhabarkan sedang membuat penilaian terakhir untuk membawa masuk pemain import bagi memperkuat pasukan mengharungi saingan musim depan.
Perkara itu diluahkan sendiri oleh pengendali pasukan Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe baru-baru ini apabila dikatakan masih ‘bernafsu’ untuk mendapatkan pemain baharu yang berkualiti ke dalam pasukannya biarpun sudah berhasil menandatangani tiga pemain tempatan setakat ini.
Menurutnya, skuad Selangor kini sedang giat untuk mendapatkan khidmat ‘awang import’ sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada pertengahan Februari ini.
Enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai posisi pemain import yang dimahukannya, namun rata-rata peminat sudah mula berteka teki dengan kenyataan diberikan bekas jurulatih kebangsaan itu.
Justeru, lima pemain import ini merupakan antara calon terbaik yang mungkin boleh dipertimbangkan atau diserap ke dalam skuad Gergasi Merah untuk saingan musim depan:
1. Matias Conti
Pemain berasal dari Argentina ini pernah bermain untuk Pahang pada 2013 hingga 2016 dan kini beraksi bersama Deportivo Armenio iaitu kelab liga bawah di Argentina.
Ketika beraksi dalam Liga Super, Conti merupakan antara tonggak utama pasukan Pahang FC yang mendapat pujian ramai daripada penyokong susulan tindakan penyudahnya yang sering berjaya menghasilkan gol dalam perlawanan.
Malah, pemain berusia 32 tahun itu juga pernah membantu Pahang menang dua Piala FA iaitu pada 2013 dan 2014.
Kontrak Conti yang baru sahaja tamat pada penghujung musim lepas sekali gus menguatkan lagi stigma dan kebarangkalian pemain itu untuk kembali ke Liga M.
2. Hilal El Helwe
Bekas penyerang Penang FC, Hilal El Helwe yang ditamatkan kontraknya pada penghujung saingan musim lalu kini difahamkan belum disambar mana-mana pasukan lagi.
Merupakan tonggak skuad kebangsaan Lubnan ketika beraksi di saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan turut mewakili negaranya dalam Piala Asia 2019, pemain berusia 28 tahun ini dilihat boleh membawa kejayaan pada skuad Selangor jika diberikan peluang.
Beraksi dalam 19 perlawanan Liga Super musim lepas, Hilal berjaya menjaringkan 5 gol dan dua bantuan gol berdasarkan laporan 'transfermarket.'
Meskipun ada pihak berpendapat jumlah jaringan itu agak kecil bagi seorang pemain di posisi penyerang, namun melihatkan kelicikan serta skil yang dimilikinya, Selangor FC diyakini mampu mengembalikan prestasi terbaik pemain ini jika digandingkan bersama penyerang sensasi tempatan, Faisal Halim.
3. Theerathon Bunmathan
Pemain pertahanan skuad kebangsaan Thailand, Theerathon Bunmathan merupakan salah satu pemain pertahanan terbaik di Asia Tenggara dengan beberapa kejuaraan pernah dikecapinya bersama Thailand dan beberapa kelab yang diwakilinya.
Pemain berusia 33 tahun itu juga pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2013 selain Piala AFF Suzuki 2016 bersama skuad Gajah Perang sebelum ini.
Pengalamannya beraksi di pentas antarabangsa dilihat boleh diterjemahkan ke dalam skuad Gergasi Merah bagi mengekang asakan lawan ke kubu pertahanan pasukan.
Kredibiliti versatilnya yang berupaya beraksi dengan baik di posisi tengah bertahan juga dilihat satu bonus jika berjaya disambar skuad Merah Kuning.
Antara rekod terpuji lain yang dimiliki pemain ini adalah beliau juga pernah tersenarai dalam kesebelasan terbaik AFC Champions League (ACL) 2013 selain pemain terbaik dalam saingan Thai League pada 2013.
4. Victor Nirennold
Seorang lagi pemain berpotensi yang bermain di posisi pertahanan, Victor Nirennold juga antara calon yang sesuai dibawa masuk Cheng Hoe.
Pemain kelahiran Perancis itu tidak asing lagi dalam arena bola sepak tempatan kerana pernah beraksi bersama UiTM FC selama dua musim dari 2020 hingga 2021.
Perkara itu didedahkan oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran yang sebelum ini menyatakan bahawa Selangor kini sedang melihat kehadiran bekas bek tengah Fleetwood Town itu untuk menambah kualiti pada barisan pertahanan.
Jika berita ini menjadi kenyataan, kemasukan pemain itu dilihat bakal menaikkan lagi semangat penyokong Selangor apabila Victor bakal digandingkan dengan bekas rakan sepasukannya di UiTM FC, Ahmad Khuzaimi Piee.
5. Aung Kaung Mann
Berketinggian 1.78 meter, pemain ini pernah mencetuskan fenomena dalam peminat sukan bola sepak apabila namanya meniti di bibir ramai susulan persembahan memukaunya ketika beraksi di Sukan SEA 2019 di Filipina.
Pernah mewakili Sri Pahang FC pada 2021, penyerang berusia 24 tahun ini merupakan antara tunjang utama yang mengemudi barisan hadapan skuad Pahang pada musim itu.
Kaung Mann yang kini mewakili pasukan Udon Thani FC di liga Thai sedang berada di penghujung kontrak dan dikatakan bersedia untuk menerima sebarang tawaran dari mana-mana kelab.
Justeru, segala keputusan kini terletak di bahu jurulatih Tan Cheng Hoe dan setakat ini masih belum ada sebarang berita dikongsikan pasukan itu berkenaan identiti pemain import yang bakal dipertaruhkan pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram