Fans tagih magis Wak Am, dah patut 'naik pangkat' perkuat Gergasi Merah, desak tinggalkan The Rhinos


  • Podium
  • Selasa, 03 Jan 2023

Amri Yahya merupakan antara bintang yang pernah dilahirkan pasukan Selangor FC satu ketika dahulu. — Twitter/Fans Selangor FC

BEKAS penyerang sensasi pasukan Selangor FC, Amri Yahya sememangnya satu nama yang amat disegani dan disanjung dalam arena bola sepak tanah air.

Pemain kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu boleh dianggap 'otai' dalam kalangan pemain-pemain tempatan kerana telah mula beraksi di Liga Super sejak 2001 bersama pasukan Gergasi Merah.

Pelbagai kejayaan pernah dikecapi pemain itu sepanjang mewakili kelab dan juga sepanjang penampilannya bersama skuad kebangsaan dan antara memori manis yang tidak akan pernah dilupakan penyokong semestinya gol jarak jauh yang dijaringkan pemain itu dalam perlawanan persahabatan pra-musim menentang kelab terkemuka England, Manchester United pada 2009.

Kelincahan serta ketangkasan pemain itu di hadapan gawang sentiasa mencuri perhatian peminat selain turut mendatangkan masalah buat benteng pertahanan lawan dalam setiap perlawanan.

Meskipun sudah menginjak usia 41 tahun, Amri yang kini beraksi bersama Sabah FC merupakan antara tonggak utama dalam pasukan tersebut dan sering diturunkan sebagai kesebelasan utama oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Mencatat sebanyak 49 penampilan dan sembilan jaringan gol pada musim lepas, pemain berketinggian 1.75 meter itu membuktikan bahawa usia bukan penghalang buat dirinya untuk terus mempamerkan persembahan bermutu tinggi di atas padang.

amm

Amri Yahya kini mewakili pasukan Sabah FC dan bakal bersaing di Piala AFC pada musim depan. — MFL

Dalam pada itu, sentuhan Amri sentiasa ditagih dan dinanti-nantikan oleh penyokong skuad Gergasi Merah yang dilihat semakin merindui kelibat pemain itu menyarung semula jersi merah kuning.

Tidak dinafikan bahawa faktor usia merupakan penghalang terbesar buat pemain itu kembali dipanggil oleh pengurusan kelab namun, rata-rata peminat beranggapan bahawa status 'senior' dan pengalaman dimiliki Amri lebih sesuai jika diletakkan sebaris dengan barisan kejurulatihan Selangor.

Harapan peminat terhadap Amri kini lebih tertumpu sebagai seorang jurulatih kerana ilmu serta pengalaman pemain itu dilihat lebih sesuai sekiranya dicurahkan kepada pelapis-pelapis muda skuad tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir pemain itu menyarung jersi Selangor adalah ketika di bawah kendalian jurulatih B. Sathianathan pada tahun 2017 sebelum berpindah ke pasukan Sarawak pada tahun berikutnya selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan pengurusan yang sering meletakkannya di bangku simpanan.

Namun, prestasinya kian memuncak semenjak mewakili Sabah dan percaturan Kim Swee yang kerap membuat pertukaran pemain dengan Amri dilihat amat bersesuaian dengan kebolehan serta skil dimiliki penyerang veteran itu.

Ada berpendapat sudah tiba masanya untuk anak jati Selangor itu kembali menabur bakti di negeri kelahirannya dan melupakan segala isu yang pernah melanda dirinya satu ketika dahulu.

"Wak Am anak kelahiran Selangor, cuba pengurusan tawarkan dia sebagai jurulatih dalam skuad Selangor, biar dia berbakti untuk pelapis muda dan lupakan perkara lepas, pasti ada sinar di hujung terowong," kata Ahmadi Suien.

"Bawa pulang sang legenda ini ke pangkuan merah kuning, biar dia bersara di Selangor dan jadi jurulatih pasukan, tinggalkan Sabah sebab penyokong sana pun kurang minat dia" ujar Kepundenz Skeper.

"Walaupun saya penyokong Perak, tapi saya amat mengagumi Amri, dia main bermati-matian untuk pasukan yang diwakilinya dan saya juga sokong kalau dia tamatkan kariernya di Selangor sebagai jurulatih kerana negeri itu yang telah menaikkan namanya," tambah Shahrol Osman.

Dalam pada itu, antara faktor utama yang boleh dijadikan dorongan kepada pemain itu untuk kembali ke Selangor adalah keterbukaan peminat untuk menerima pemain tersebut.

Meskipun Amri sentiasa mempamerkan persembahan berkualiti di Sabah, penyokong The Rhinos semestinya tidak akan pernah melupakan detik di mana pemain itu menjadi punca kekalahan dalam perlawanan menentang Johor Darul Takzim pada saingan piala Malaysia musim lepas.

Pemain itu disifatkan telah mencalarkan imej pasukan Sabah selepas sengaja merosakkan rumput padang di kawasan sepakan penalti yang sepatutnya diambil pemain handalan JDT, Bergson Da Silva.

Dilayangkan kad kuning oleh pengadil, tindakan Amri yang seakan memprotes dan merusuh menyebabkannya sekali lagi dilayangkan kad kuning kedua yang sekali gus mengakibatkan beliau dihalau keluar padang dalam perlawanan terbabit.

Insiden itu kian segar dalam ingatan penyokong Sabah dan ia dilihat sebagai satu sejarah yang memalukan buat penyerang tersohor itu selepas perbuatannya dikecam ramai sehingga ke hari ini.

Berbanding rekod bersih serta penampilan cemerlangnya bersama skuad Selangor satu ketika dahulu, penerimaan peminat di negeri kelahirannya itu dilihat lebih baik dan sentiasa dialu-alukan kedatangannya sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih.

Diharap impian dan cita-cita penyokong Gergasi Merah untuk menyaksikan Amri kembali bersama pasukan itu dapat direalisasikan satu hari nanti dan segala keputusan terletak di tangan pengurusan kelab itu yang kini diterajui oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram