Bukan calang-calang, bintang import baharu JDT pernah pecah rekod kelab lama


  • Podium
  • Khamis, 12 Jan 2023

Sebahagian daripada pemain JDT meraikan gol yang dijaringkan dalam Liga Super.

BARU berusia 24 tahun, Oscar Arribas sudah dipilih menjadi pemain import baharu Johor Darul Takzim (JDT) dan pastinya ada kriteria tertentu mengapa bekas pemain di Liga Sepanyol itu dipilih.

Pemain kacukan Sepanyol-Filipina ini sebenarnya pernah mencatatkan rekod peribadi sebagai pemain apabila memecah rekod 100 penampilan bersama pasukan lamanya, Alcorcon FC.

Malah, pemain tengah ini juga telah diberi penghargaan oleh kelab lamanya itu yang disertai sejak berusia 15 tahun.

Mengimbas kembali perjalanan kariernya, Arribas berkata, dia bergelut sejak muda lagi untuk menjadi kesebelasan utama dalam pasukan.

Arribas

Arribas bersama jersi yang tertera angka 100 sebagai simbolik rekod penampilannya bersama Alcorcon. — Agensi

"Saya bergelut dan berusaha untuk dipilih ke kesebelasan utama. Ramai yang telah membantu saya termasuk ibu bapa, datuk dan nenek, teman wanita, rakan serta peminat," katanya yang juga boleh bermain di posisi sayap.

Malah, Arribas juga mengakui yang dia menganggap Alcorcon sebagai sebahagian daripada hidupnya.

"Saya telah memberikan segala-galanya secara peribadi dan profesional. Kelab itu juga banyak menerapkan nilai murni untuk sentiasa merendah diri dan menjadi seorang pejuang," katanya.

Namun, satu perkara yang menarik ialah walaupun Arribas sudah memberikan yang terbaik sehingga beraksi sebanyak 116 kali, tiada siapa sangka dia akan membuat keputusan untuk menyertai Cartagena FC.

Malah, Alcorcon juga juga dikatakan tidak menyangka bahawa pemainnya itu akan meninggalkan mereka dan menyertai kelab baharu.

Namun hanya semusim bersama dengan Cartagena, Arribas kini menjadi sensasi baharu dalam JDT dan penyokong pastinya sudah tidak sabar mahu melihat aksi pemain yang cukup berpengalaman ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram