Arab Saudi lanjut tempoh visa, kurangkan insurans haji dan umrah


  • Primer
  • Rabu, 11 Jan 2023

Arab Saudi mengumumkan pengurangan insurans premium jemaah haji dan umrah.

ARAB Saudi mengurangkan insurans premium jemaah haji daripada 109 Riyal (RM127) kepada 29 Riyal (RM34), iaitu penurunan sebanyak 73 peratus.

Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah turut mengumumkan pengurangan premium insurans komprehensif untuk menunaikan umrah daripada 235 Riyal (RM274) kepada 88 Riyal (RM103).

Berucap pada majlis perasmian persidangan dan pameran 'Ekspo Haji 2023' pada Selasa, menteri itu berkata, tempoh visa umrah juga akan dilanjutkan daripada 30 hari kepada 90 hari.

"Seperti pemegang visa Umrah yang kini boleh melancong di seluruh pelusuk negeri, pemegang visa lain juga dibenarkan menunaikan umrah," menurut kenyataan itu.

Tawfiq Fawzan juga menjelaskan bahawa mulai tahun ini, semua pengelola jemaah haji boleh membuat kontrak dengan mana-mana syarikat berlesen di Arab Saudi dan tidak hanya membabitkan beberapa syarikat terpilih seperti sebelum ini.

"Beliau menekankan peranan kementerian dalam meningkatkan daya saing dengan memberi peluang kepada pengelola jemaah haji untuk menjalin kontrak dengan beberapa syarikat dan bukannya satu syarikat seperti sebelum ini," kata kenyataan itu.

'Ekspo Haji 2023', anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dari 9 hingga 12 Januari 2023, adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk membina ekosistem perkhidmatan dan penyelesaian inovatif dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada jemaah haji sambil meningkatkan pengalaman beribadah dan budaya tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram