'Permainan' belum tamat, Sabah jadi medan percaturan politik


  • Politik
  • Rabu, 11 Jan 2023

Bung Moktar berkata, rancangan untuk menjatuhkan Hajiji Noor sebagai ketua menteri masih berjalan.

PERKEMBANGAN politik di Sabah menyaksikan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor telah berjaya membentuk kerajaan di negeri itu.

Namun persoalannya, adakah rancangan pihak yang berpakat untuk menggulingkannya sebagai ketua menteri gagal?

Menurut Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, rancangan untuk 'menjatuhkan' Hajiji Noor sebagai ketua menteri masih berjalan.

"Tidak mengapa, permainan masih diteruskan."

Bung Mokhtar berkata demikian pada Ahad sebagai tanda dia enggan mengaku kalah selepas Hajiji mendakwa beliau mempunyai 44 sokongan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokongnya kekal sebagai ketua menteri.

Hajiji kehilangan sokongan majoriti (sekurang-kurangnya 40 daripada 79 kerusi DUN Sabah) selepas 13 daripada 18 Adun Umno menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

Pada Rabu, kerajaan Sabah secara rasmi mempunyai 44 sokongan selepas dua Adun Pakatan Harapan (PH) dan seorang Adun Umno mengangkat sumpah dalam Kabinet Hajiji bagi menggantikan tiga Adun Umno yang dipecat termasuk Timbalan Ketua Menteri, Bung Mokhtar.

Percaturan politik masih diteruskan walaupun Hajiji mempunyai sokongan majoriti.

Lawannya - Umno, Warisan yang diketuai Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang dipimpin Datuk Peter Anthony, mempunyai 35 Adun (Warisan 19, Umno 13 dan KDM tiga).

Mereka memerlukan sokongan lima Adun untuk melompat bagi membentuk kerajaan.

Perkara terbabit boleh berlaku ia kerana Sabah tidak mempunyai undang-undang antilompat parti.

Bung Mokhtar, Shafie Apdal dan Peter Anthony mendesak Ketua Menteri Sabah untuk menerima formula parti mereka dalam Kerajaan Perpaduan.

Jika rampasan kuasa oleh Bung Mokhtar, Shafie Apdal dan Peter Anthony berjaya, adakah mereka akan bergabung dengan GRS?

Pada Selasa, mereka mendakwa formula Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kestabilan politik adalah menerusi pembentukan kerajaan perpaduan.

Sehari sebelumnya, Anwar bersama beberapa pemimpin politik termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Kota Kinabalu untuk menawarkan formula mereka kepada ahli politik Sabah.

Anwar memberikan formula kerajaan perpaduan, bagaimanapun Hajiji tidak bersetuju bimbang langkah itu membuka ruang kepada musuh yang mahu menjatuhkannya.

Perdana Menteri pada awalnya meminta ketua menteri menangguhkan majlis angkat sumpah ketiga-tiga Adun kerana beliau mahu tempoh bertenang selama tiga hari untuk mencari penyelesaian.

Bagaimanapun, Kerajaan Sabah meneruskan majlis angkat sumpah pada Rabu.

Persoalannya, adakah Pakatan Harapan akan mengarahkan tujuh Adunnya berundur daripada kerajaan pimpinan Hajiji kerana beliau tidak mengendahkan nasihat Anwar untuk tempoh bertenang.

Salah seorang menteri yang mengangkat sumpah ialah Ketua PH Sabah yang juga Adun Api Api, Datuk Christina Liew.

Adakah PKR akan meminta beliau dan Adun Inanam untuk keluar daripada kerajaan negeri dan jika ada arahan, lima Adun Pakatan yang meninggalkan Hajiji akan menyebabkan kerajaan negeri tumbang.

Berdasarkan perkembangan semasa, arahan itu tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat tetapi dalam masa enam bulan.

Jumlah Adun yang menyokong kerajaan Sabah juga boleh meningkat.

Spekulasi mengatakan bahawa selepas rampasan kuasa gagal, ada wakil rakyat dari Warisan dan Parti KDM yang mahu menyertai kerajaan Sabah demi rakyat.

Permainan masih belum tamat, namun terdapat kemungkinan sekuel kepada permainan yang dipanggil Pirate(s) of the Caribbean. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram