EMPAT pertukaran dalam kesebelasan utama dibuat Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon wajar dilihat sebagai faktor kekalahan Malaysia kepada Thailand pada separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, pada Selasa.
Gajah Perang bimbingan Alexandre Polking menang 3-0 menerusi gol berpunca hantaran lintang untuk mencatat keputusan agregat 3-1 sekali gus menempah pertemuan dengan juara dua kali, Vietnam dalam misi mempertahankan kejuaraan.
Selepas berjaya mengatasi Thailand 1-0 di laman sendiri, Pan-gon membuat keputusan luar biasa menggantikan keempat-empat pemain di kanan dan kiri pasukan untuk berdepan pihak lawan yang memiliki keupayaan teknikal tinggi.
Jurulatih dari Korea Selatan itu merehatkan pemain pertahanan kanan, Quentin Cheng dengan harapan Muhammad Azam Azmi Murad yang segar daripada penggantungan dua perlawanan dapat melaksanakan tugas dengan baik, tetapi Thailand meledak gol pertama dari sebelah kanan.
Azam Azmi 'lambat panas' selepas direhatkan daripada dua perlawanan. — Bernama
Pan-gon juga membuat pertukaran di bahagian kiri apabila pemain pertahanan, Muhammad Fazly Mazlan dipilih berbanding V. Ruventhiran, malangnya keputusan itu tidak dapat menghalang Thailand daripada menjaringkan dua gol bermula dari sebelah kiri.
Dua lagi pertukaran dibuat Pan-gon ialah mempertaruhkan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Mohd Nor Hakim Hassan masing-masing di bahagian kanan dan kiri sayap pasukan berbanding Muhammad Safawi Rasid dan Mohamad Faisal Abdul Halim yang ditolak bermain di belakang penyerang.
Berdasarkan statistik, Malaysia tidak menunjukkan perubahan dalam pendekatan permainan berbanding aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), apabila hanya menguasai 37 peratus penguasaan bola berbanding Thailand dengan 63 peratus.
Fazly Mazlan tidak dapat menghalang Thailand daripada menjaringkan gol dari sebelah kiri. — Bernama
Keputusan Pan-gon membuat dua pertukaran di bahagian sayap juga tidak menampakkan kelainan apabila Malaysia mencatatkan keseluruhan dua percubaan dengan satu tepat ke gawang, manakala Thailand garang dengan mencipta lima serangan tepat dalam keseluruhan tujuh percubaan.
Dari segi ketepatan hantaran, keupayaan Thailand bermain secara dinamik bermula dari bahagian pertahanan sehingga ke jentera serangan menyaksikan mereka mencatat 81.6 peratus manakala Malaysia yang kelihatan lewat dalam membuat hanya mengumpul 65.1 peratus.
Sementara Thailand turut menunjukkan disiplin bertahan yang baik apabila berjaya menyekat tiga percubaan pasukan negara sementara Malaysia dibolosi menerusi gerakan sama iaitu hantaran lintang dari sebelah kanan dan kiri yang menyaksikan pemain negara teperangkap dan mudah diatasi.
Ketika ditanya adakah keputusan empat pertukaran dilakukan itu menjadi punca kekalahan, Pan-gon menjawab: "Saya menerima sekiranya anda (media) berfikir begitu,”.
Faisal Halim ditolak bermain di belakang penyerang dalam percaturan Pan-gon ketika aksi separuh kedua bertemu Thailand. — Bernama
Mungkin dapat disimpulkan pasukan negara tidak belajar daripada perlawanan di SNBJ apabila walaupun menang tetapi Thailand lebih menonjol dan menguasai keseluruhan 90 minit permainan dan taktikal sama diterapkan anak buah Polking pada perlawanan tersebut.
Berdasarkan statistik pertembungan itu, Thailand mendominasi penguasaan bola sehingga 72 peratus dan melakukan keseluruhan 18 percubaan dengan empat daripadanya tepat ke gawang.
Pada perlawanan tersebut, pasukan negara umpama menanti masa dibolosi pihak lawan sebelum Thailand membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi tandukan penyerang prolifik, Teerasil Dangda diikuti jaringan pemain sayap, Bordin Phala (minit ke-55) dan penyerang gantian, Adisak Kraisorn pada minit ke-71.
Pada masa sama, faktor keletihan juga boleh diberikan perhatian dalam merungkai penyingkiran Malaysia pada edisi kali ini selepas pasukan negara mengharungi jadual perlawanan yang padat dengan tempoh perjalanan yang singkat. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram