'Cakap memang senang' — Lee Tuck bongkar rahsia 'coach' Thailand


  • Podium
  • Selasa, 10 Jan 2023

Lee Tuck (kiri) percaya rakan-rakan sepasukan Harimau Malaya tidak akan diberikan laluan mudah oleh Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 pada Selasa. Facebook/FAM

TONGGAK naturalisasi negara, Lee Tuck menyifatkan Harimau Malaya bakal berdepan cabaran getir menentang skuad Gajah Perang pada separuh akhir kedua Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand pada Selasa.

Pemain tengah kebangsaan itu menjangkakan Thailand akan memberikan saingan sengit dengan cuba untuk mendominasi perlawanan seperti corak permainan yang ditunjukkan ketika aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

"Kami perlu memastikan dalam aksi separuh akhir kedua nanti kita tidak akan mudah dibolosi lawan dan seterusnya mara ke final.

"Cakap memang senang, tapi tak semudah itu untuk melaksanakannya. Tengok saja aksi separuh akhir pertama, pasukan terpaksa berhempas-pulas untuk menjaga gawang daripada dibolosi pemain Thailand," katanya kepada Majoriti.

324719734_570865088225931_8133004432953199662_n

Lee Tuck menjadi sandaran Harimau Malaya untuk menghadapi skuad Gajah Perang dalam aksi timbal balik pada Selasa. — Facebook/ FAM

Menurut Lee Tuck, dia memiliki pengalaman berdepan dengan ketua jurulatih Gajah Perang, Alexandre Polking semasa beraksi selama enam tahun di Liga Thailand.

"Saya tahu dia (Polking) suka high-tempo football. Dengan pemain berbakat yang dimiliki dalam pasukan, Polking pasti ada kelainan yang dia mahu tonjolkan menerusi anak-anak buahnya.

"Mereka pasti bermain dengan lebih agresif di laman sendiri dan ia tentunya akan menjadi perlawanan yang menarik buat kedua-dua pasukan. Tapi Malaysia perlu menang dalam perlawanan itu untuk mara ke final," katanya.

Lee Tuck turut menasihatkan rakan sepasukan supaya terus mengekalkan fokus masing-masing dalam misi mencari kemenangan buat Malaysia selepas kali terakhir Harimau Malaya bergelar juara pada 2010.

Katanya, bekalan satu gol yang diperoleh dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu tidak cukup untuk membuatkan skuad kebangsaan berasa selesa di depan.

"Apa yang penting, kita kena ikut game plan jurulatih dan kekalkan momentum untuk aksi timbal balik kedua," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram