Pastikan skrip 2018 tak berulang, 4 perkara harus jadi iktibar buat Harimau Malaya jika layak ke final


  • Podium
  • Selasa, 10 Jan 2023

Antara aksi pemain Harimau Malaya dan Vietnam ketika final Piala AFF 2018. — Agensi

DALAM tempoh kurang 24 jam, skuad Harimau Malaya boleh mengulangi sejarah 2018 untuk layak ke pentas final Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 jika berjaya menjinakkan Thailand di bumi Bangkok.

Memiliki defisit satu gol hasil jaringan tunggal Faisal Halim pada aksi separuh akhir pertama sebelum ini, anak-anak buah Kim Pan-gon dilihat berpeluang cerah dan hanya sebelah kaki ke pentas final, sekali gus mengulangi pertemuan berdepan Vietnam pada edisi 2018 selain dapat menebus dendam dimalukan The Golden Star Warriors dengan kekalahan 0-3 dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Vietnam terlebih dulu mara ke final selepas membenam Indonesia dengan agregat 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir kedua Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 pada Isnin.

Mengimbas kembali aksi final Piala AFF 2018, Malaysia rebah 0-2 di tangan Vietnam.

Namun, perkara itu tidak akan berulang pada aksi Piala AFF kali ini, sekiranya skuad Harimau Malaya mengambil iktibar atas kekalahan tersebut.

Berikut merupakan empat kesilapan yang tidak harus diulangi Harimau Malaya jika sekali lagi berjaya ke pentas final edisi kali ini, dengan syarat terlebih dulu memadam cabaran Thailand malam ini di semi final seperti mana yang dilakukan skuad kebangsaan pada 2018:

1) Segera tukar corak permainan

F6E15C24-701C-46BB-8A01-807E1F6BE5BD

Aksi pemain Malaysia pada final Piala AFF 2018. — Agensi

Sebagai pengendali sesuatu pasukan, sudah tentu mereka mengetahui tentang kekuatan dan kelemahan pemain sendiri mahupun pihak lawan.

Begitu juga dengan Ketua Jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon yang harus bijak memilih kesebelasan utama dan pemain simpanan yang layak diturunkan pada peringkat final.

Selain itu, beliau harus melihat kembali kesilapan taktikal skuad kebangsaan ketika dikendalikan Tan Cheng Hoe pada final Piala AFF 2018, sebelum mengubah corak permainan sewajarnya jika perlu.

2) Kenal pasti pemain berbahaya

Dalam aksi final Piala AFF 2018, 'Messi Vietnam', Nguyen Cong Phuong tidak dikawal berjaya menolak masuk bola di gawang seawal minit ke-12.

Namun difahamkan, pemain itu tidak dapat diturunkan pada pesta kali ini atas alasan tertentu.

Sebaliknya, Malaysia juga perlu berhati-hati dengan pemain yang bermain kotor di atas padang.

Sebagai contoh, pertahanan Vietnam, Don Van Hau yang dilihat melakukan beberapa siri kekasaran ketika menentang Indonesia dan Malaysia pada baru-baru ini termasuk di peringkat separuh akhir pada Isnin.

3) Kuatkan benteng pertahanan dan elak dibolosi gol mudah

B3E71C59-8F7E-4A10-9A3C-25ADC4EB350F

Malaysia tewas 0-2 di tangan Vietnam pada final Piala AFF 2018. — Agensi

Barisan pemain kebangsaan khususnya bek pertahanan dan penjaga gol perlu berwaspada dengan dua peledak berbisa Vietnam, Nguyen Quang Hai dan Nguyen Tien Linh yang dianggap berpotensi menjadi senjata pemusnah impian besar Harimau Malaya.

Selain itu, gandingan duo tersebut dengan seorang lagi tonggak penyerang, Pham Tuan Hai juga perlu diberi perhatian kerana keupayaan mereka mengucar-kacirkan benteng pertahanan negara untuk membuka ruang buat rakan sepasukan mencipta jaringan.

4) Kreativiti dan dominasi jentera tengah

Selain benteng pertahanan, bahagian tengah sangat penting untuk sesebuah pasukan.

Ini berikutan segala serangan akan bermula dari tengah. Oleh itu, kawalan di bahagian tersebut akan memberi kelebihan kepada penyerang negara seperti Darren Lok dan Sergio Aguero untuk merancang sesuatu.

Tidak perlu terlalu jauh mengimbau pada skrip 2018, keutuhan jentera tengah skuad kendalian Park hang-seo ketika mengkucar-kacirkan strategi Harimau Malaya semasa aksi kumpulan tempoh hari juga sudah menceritakan segala-galanya.

Pada masa sama, tindakan Cheng Hoe yang dilihat agak lambat membuat pertukaran pemain dan taktikal ketika sudah jauh ketinggalan semasa bertemu Vietnam pada final 2018 juga masih diingati sebahagian besar peminat fanatik Harimau Malaya, jadi diharapkan Pan-gon lebih bersedia kali ini dengan segala bentuk taktikal yang wajib dibentang habis-habisan sebaik mungkin di tengah padang.

Usah terbang terlalu tinggi, kelak jatuh kan bertambah parah. Jika tidak mahu skrip 2018 berulang, ayuh satu Malaysia, kita doakan skuad Harimau Malaya berjaya menutup mulut seluruh Thailand malam ini supaya impian menebus semula maruah tercalar di tangan Vietnam bukan lagi sekadar angan-angan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram