Piala AFF masih lemah, gah lagi Liga Thai guna teknologi VAR


  • Podium
  • Selasa, 10 Jan 2023

Aksi kapten Harimau Malaya, Brendan Gan ketika Malaysia bertemu Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu. — Sportflex

PENGADILAN pegawai perlawanan sepanjang kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (Piala AFF) 2022 menjadi topik hangat yang diperbualkan oleh penyokong bola di seantero Asia Tenggara.

Ia bermula dengan pengadilan kontroversi Ryuji Sato, yang memberikan sepakan penalti kepada Vietnam selain turut melayangkan kad merah kepada Azam Azmi Murad ketika aksi Malaysia menentang The Golden Star Warriors pada 27 Disember lalu.

Pengadil dari Jepun itu mendakwa pemain muda Harimau Malaya itu telah melakukan kekasaran ke atas Doan Van Hau di luar padang.

Seterusnya ialah Kim Dae-yong yang menafikan gol kedua dari Malaysia pada aksi separuh akhir pertama menentang Thailand pada 7 Januari lalu.

Pengadil dari Korea Selatan itu mengatakan terdapat kekasaran ketika perebutan bola di udara sedangkan menerusi ulang tayang mendapati pemain Harimau Malaya, Dominic Tan berjaya menanduk bola dengan baik.

Terbaharu insiden melibatkan pemain Indonesia, Dendy Sulistyawan dan Bui Tien Dung pada aksi separuh akhir kedua antara Vietnam dan Indonesia di Stadium My Dinh, pada Isnin.

Dendy dijatuhkan di dalam kotak penalti dan pengulas sukan berasakan sepatutnya pemain itu sepatutnya dihadiahkan dengan sepakan penalti.

324436562_851924729359463_6297760978444242030_n

Van Hau antara pemain yang kurang digemari sepanjang kempen Piala AFF 2022. — Facebook

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd. Salleh berkata, pengadil mungkin tidak memberikan penalti kepada Indonesia kerana kesalahan dimulakan oleh pemain terbabit.

"Sekiranya pengadil tidak berikan penalti kepada Indonesia, sebaliknya memulakan semula permainan dengan sepakan percuma ini bermaksud pasukan itu yang memulakan kesalahan.

"Kad kuning kepada pemain Vietnam berjersi nombor 4 (Tien Dung) pula adalah berkemungkinan besar disebabkan tindak balas retaliation terhadap lawannya selepas permainan dihentikan," katanya.

Mengulas lanjut, Subkhiddin berpendapat kesalahan dilakukan oleh Dendy yang dilihat melakukan cabaran dengan melompat atau menerjah ke arah bola yang pada masa sama cuba dihalang oleh Tien Dung.

Ketua Pengarah Pengadil Persatuan Bola Sepak Korea Selatan itu berkata, kedua-dua pemain mempunyai peluang untuk mencabar tetapi Dendy memilih cara yang perlu dipersalahkan untuk kesalahan reckless challenges.

"Saya berpendapat Dendy perlu dihukum dengan kad kuning dan permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma terus untuk lawannya," ujar Subkhiddin.

Sementara itu, seorang jurulatih kelab Thailand menyifatkan Piala AFF 2022 sebagai kejohanan terburuk pernah disaksikan berikutan mutu pengadilan yang sangat lemah dan ketiadaan teknologi sokongan video bantuan pengadil (VAR).

Jurulatih kelab Chonburi, Sasom Pobprasert berkata demikian berdasarkan analisis beberapa perlawanan besar pada kejohanan kali ini membabitkan dua aksi separuh akhir pertama antara Malaysia-Thailand dan Indonesia-Vietnam serta pertembungan Indonesia-Thailand dan Vietnam-Malaysia pada peringkat kumpulan.

"Piala AFF kali ini adalah kejohanan terburuk pernah saya saksikan. Semua kejohanan utama di negara membangun atau dalam Liga Thai menggunakan teknologi VAR, tetapi Piala AFF sehingga kini masih gagal melaksanakannya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram