'Macam nampak tak nampak', fans Sang Penyu risau Adisak karam awal


  • Podium
  • Selasa, 10 Jan 2023

Adisak (jersi nombor 9) ketika aksi Malaysia bertemu Thailand pada separuh akhir pertama Piala AFF 2022, Sabtu lalu.

PADA Sabtu, Harimau Malaya membaham skuad Gajah Perang dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 yang menyaksikan Malaysia membawa bekalan 1-0 untuk pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand.

Thailand mempamerkan keupayaan teknikal tinggi dan berjaya menguasai 90 minit permainan ketika perlawanan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Di sebalik asakan Thailand, penyokong Terengganu FC awal-awal lagi membuat penilaian terhadap salah seorang tonggak Gajah Perang, Adisak Kraisorn yang bakal menyertai kelab itu pada musim ini.

Adisak tidak diturunkan dalam kesebelasan utama sebaliknya dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-68 menggantikan Peeradol Chamratsamee.

Memperoleh hanya 22 minit masa perlawanan sebelum wisel penamat dibunyikan pada minit ke-95, rata-rata penyokong Terengganu bagai tidak puas melihat aksi Adisak di atas padang.

Aksi Adisak ketika pertemuan antara Malaysia dan Thailand pada Piala AFF 2018. — Facebook

Malah ada yang mengatakan kehadiran Adisak seolah-olah macam 'nampak tak nampak' ketika beraksi menentang Malaysia.

Ini kerana perhatian lebih terarah kepada Theerathon Bunmathan, Bodin Phala dan Sasalak Haiprakhon yang nampaknya lebih menyinar di atas padang.

Situasi itu menyebabkan ada penyokong Sang Penyu yang berasa bimbang jika prestasi Adisak tidak sehebat yang dicanang.

Malah mereka khuatir pemain berusia 31 tahun tidak dapat memberikan impak besar kepada pasukan Terengganu FC yang kini di bawah kendalian jurulatih dari Croatia, Tomislav Steinbruckner.

Andai perkara itu berlaku, pastinya ia menjadi kekurangan buat skuad Hitam Putih selepas kehilangan pemain sensasi mereka, Faisal Halim yang ke Selangor FC musim ini.

Bermain di posisi serangan dan sayap, Adisak dituntut supaya mengekalkan kekuatan pasukan Terengganu di posisi berkenaan yang begitu ampuh dalam 'jagaan' Faisal sebelum ini.

Selain Adisak, Terengganu FC turut memperkenalkan dua import baharu musim ini iaitu Domigoj Pusic dan Ivan Mamut dari Croatia.

Terengganu FC turut menandatangani kontrak dengan dua lagi pemain import iaitu Sardor Kulmatov, Sony Norde selain mengekalkan Habib Haroon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram