'A' cakap Melayu, Aguero sempoi tenangkan penyokong Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 11 Jan 2023

Aguero bersalaman dengan 'Ultras Malaya' selepas Malaysia tewas kepada Thailand pada dengan agregat 3-1. — Bernama

IMPIAN skuad negara mara ke final Piala AFF 2022 tidak kesampaian apabila tewas 0-3 di tangan Thailand pada aksi separuh akhir kedua, di Stadium Thammasat, pada Selasa.

Namun pujian perlu diberikan kepada semua pemain Harimau Malaya yang berjuang habis-habisan hingga layak ke pusingan separuh akhir kejohanan antarabangsa itu.

Dengan muka-muka baharu yang ditampilkan dalam skuad kali ini ekoran ketiadaan tonggak utama, anak-anak buah Kim Pan-gon memberikan saingan sengit kepada lawan sepanjang kempen Piala AFF berlangsung.

Antara yang membuat debut dalam skuad Harimau Malaya kali ini adalah salah seorang naturalisasi, Sergio Aguero yang bermain untuk Sri Pahang FC pada musim ini.

321831020_1300422117356145_5071356881662669192_n

Aguero mencetak nama sebagai salah seorang penjaring Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF 2022. — Facebook/ FAM

Di Instagram, pemain kelahiran Argentina itu mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air kerana membuat ucapan dalam bahasa Melayu.

Aguero menerusi hantaran tersebut berterima kasih kepada penyokong atas kesetiaan dan sikap tidak pernah berputus asa untuk bersama pasukan Harimau Malaya tak kira ketika kalah atau menang.

"Hari ini kita kalah dalam pertempuran tetapi bukan kalah dalam peperangan. Akan ada lebih banyak pertempuran lagi pada masa akan datang.

"Perjalanan yang sukar tetapi cukup bermakna selama 43 hari kami bersama. Komitmen dan usaha yang diberikan oleh pemain, jurulatih dan pengurusan adalah tidak ternilai," katanya.

Katanya, para pemain telah mengorbankan cuti, masa bersama keluarga untuk berada di kem latihan dan venue perlawanan demi pasukan Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2023-01-11 at 14.22.26

Tangkap layar ucapan terima kasih Aguero kepada penyokong Harimau Malaya. — Instagram

"Keputusan perlawanan yang sangat menyedihkan tetapi saya percaya setiap langkah yang kita ambil akan menjadikan kita lebih kuat pada hari esok.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas kesetiaan dan tidak pernah berputus asa untuk menyokong kami!!

"Korang semua memang terbaik!! Suasana bermain di Bukit Jalil sememangnya cukup luar biasa. Kepada rakan sepasukan, jurulatih dan pengurusan, saya akan merindui pasukan ini, anda semua adalah yang terbaik!!!

"More proud than ever to be Malaysian. (Saya semakin berbangga menjadi rakyat Malaysia)," katanya.

Aguero turut menzahirkan terima kasih kepada isterinya yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Untuk rekod, Aguero mencetak nama sebagai salah seorang penjaring Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF 2022 berlangsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram