'Beautiful game', FIFA puji Ultras Malaya


  • Podium
  • Rabu, 11 Jan 2023

Ultras Malaya memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF berlangsung. — Bernama

HASRAT Malaysia ke pusingan akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 tidak kesampaian selepas tewas 0-3 kepada Thailand di Stadium Thammasat, pada Selasa.

Begitupun skuad Harimau Malaya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi hingga perlawanan berakhir.

Bertandang ke kandang lawan, anak-anak buah Kim Pan-gon menghormati penyokong dan barisan kejurulatihan skuad Gajah Perang.

Menerusi satu perkongsian video di Facebook AFF Mitsubishi Electric Cup, para pemain Harimau Malaya bersalaman dengan barisan jurulatih Thailand yang diketuai oleh Alexander Polking.

Selain video berkenaan, turut mencuri perhatian ialah rakaman Ultras Malaya menyanyikan lagu ‘Sawadeekap Thailand’ di hadapan pemain-pemain Gajah Perang.

Kelihatan kapten pasukan, Theerathon Bunmathan turut tersenyum dan memberikan tepukan kepada Ultras Malaya semasa nyanyian berlangsung.

Video tersebut bukan sahaja menarik perhatian peminat bola sepak di Asia Tenggara, malah ianya juga meraih pujian Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA berkongsi video tersebut dengan mengatakan bahawa ia satu perlawanan yang indah.

"The beautiful game. The Malaysia fans show their respect for the Thailand players after losing to them in the AFF Cup. Pertunjukan yang indah. Peminat Malaysia menunjukkan rasa hormat mereka kepada pemain Thailand selepas tewas dalam Piala AFF,” kongsi FIFA.

Video nyanyian Ultras Malaya itu meraih lebih 763,400 tontonan setakat 5 petang, Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram