MUSIM lepas, senario bola sepak tempatan boleh disifatkan sebagai tercemar apabila beberapa pasukan dikatakan terlibat dengan isu kewangan dan pengurusan.
Dua pasukan Liga Super, Melaka United dan Sarawak United merupakan antara kelab paling terkesan apabila terdapat laporan bahawa pemain tidak menerima gaji sehingga berbulan-bulan.
Menyedari perkara itu, beberapa pihak mengambil keputusan untuk cuba menyelesaikan perkara itu, terutamanya Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang berhasrat untuk mengheret pihak pengurusan ke muka pengadilan.
Namun, setakat ini, isu tersebut seakan-akan masih belum diselesaikan apabila terdapat perkongsian daripada pemain Hang Tuah yang masih belum berpuas hati dengan layanan yang diterima.
Episod gelap itu pasti menghantui ramai pihak, termasuk penyokong yang pastinya sedih melihat kebajikan tulang belakang pasukan kegemaran mereka terabai begitu sahaja.
Hal tersebut pastinya memberi kesan kepada minat yang dicurahkan kepada sukan itu pada masa-masa akang datang, sekali gus 'membunuh' landskap bola sepak tanah air.
Tahun ini pula, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan setiap kelab perlu memastikan mereka memiliki skuad simpanan untuk berentap dalam liga khas yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Jadi, ia pasti akan menimbulkan pelbagai tanda tanya dengan segelintir peminat fanatik mula gusar bahawa kemelut kewangan bakal berulang dengan lebih dahsyat.
Bagi pemerhati bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim, sukar untuk membuat ramalan sekiranya perkara itu tidak akan berulang selain berharap pihak pengurusan kelab lebih tegas akan perkara itu.
"Saya tidak dapat untuk jangkakan sama ada ia akan berulang atau tidak, tetapi sebagai pencinta bola sepak tanah air, saya amat berharap perkara itu tidak akan diulangi oleh mana-mana pasukan yang bertanding," katanya kepada Majoriti.
Tegas pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, sikap sambil lewa mengenai kebajikan staf dan pemain akan menyebabkan sukan itu merosot.
Melaka United (atas) dan Sarawak United bergelut dengan isu pengurusan sepanjang musim.
Ini kerana seseorang pemain yang berbakat akan memilih untuk tidak terus berada dalam sukan itu jika masalah gaji berulang, sekali gus cuba untuk menceburi bidang baharu.
Sementara itu, Zulakbal turut berkata, kesalahan yang dilakukan Melaka United dan Sarawak United pada musim lalu bukanlah berpunca daripada kelonggaran dalam peraturan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Setakat yang saya tahun, kedua-dua pihak ini mengambil tindakan yang tepat dan tegas. Sebagai contoh, dua pasukan itu disingkirkan dan dihalang daripada menyertai Liga Malaysia musim depan.
"Saya berharap, itu akan menjadi satu pengajaran kepada kesemua kelab untuk tidak mengambil mudah akan perkara itu pada musim-musim selepas ini," katanya.
Kedua-dua pasukan itu difahamkan gagal untuk mendapatkan lesen untuk bersaing dalam divisyen teratas bola sepak musim depan, namun Liga Bola Sepak Amatur (AFL) mengesahkan penyertaan mereka dalam Liga M3 2023.
Tindakan itu dilihat semakin membakar api kemarahan ramai pihak apabila pemain dan staf Melaka United dilaporkan masih tidak menerima gaji tertunggak sehingga lima bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram