KEMENANGAN yang dicatatkan skuad Harimau Malaya ketika dua aksi persahabatan kelas A berdepan Kemboja dan Maldives mengundang suasana gembira dalam kalangan penyokong.
Manakan tidak, kemampuan pasukan yang dikendalikan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dilihat lebih bersedia untuk kempen Piala AFF walaupun tidak dapat menurunkan sejumlah besar tonggak utama.
Sikap keterbukaan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu untuk memberi minit-minit permainan berharga kepada pemain muda diberi pujian dengan mereka berjaya membuktikan kebolehan masing-masing.
Pertembungan yang dilabel sebagai pemanas badan untuk Piala AFF itu juga dijangka menjadi medan kepada pasukan untuk menilai prestasi pemain untuk Piala Asia pada pertengahan 2023 nanti.
Malah, dengan skuad Harimau Malaya berjaya menerima Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain naturalisasi, kejohanan itu pasti akan membuka ruang untuk mencipta keserasian antara satu sama lain.
Oleh itu, persiapan secara menyeluruh pasti sudah dilakukan dengan memberi latihan intensif serta mengenal pasti kelemahan lawan pertama, Myanmar yang bakal berlangsung pada 21 Disember nanti.
Namun, persoalannya, adakah Pan-gon akan memilih untuk menurunkan kesebelasan utama terbaik ketika berdepan pasukan itu apabila skuad kebangsaan berada di kedudukan lebih baik dalam ranking FIFA terkini.
Selain itu, tempoh berehat antara kedua-dua aksi persahabatan itu semestinya akan menjadikan beberapa pemain bergelut dengan isu kecergasan sekiranya terlalu kerap beraksi.
Skuad kebangsaan mencatatkan persembahan terbaik dalam aksi persahabatan baru-baru ini. — Facebook/FAMalaysiaOfficial
Tetapi, bagi penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, dia bersetuju dengan pendapat segelintir pihak bahawa Pan-gon akan menggunakan perlawanan pada 21 Disember ini untuk menilai anak-anak buahnya.
"Pertembungan dengan Myanmar nanti boleh menjadi medan kepada pasukan kebangsaan untuk menilai kepada segala keperluan yang ada dalam menyediakan skuad untuk ke Piala Asia.
"Sebagai contoh, untuk kita tentukan pemain utama dan pemain simpanan dan sebagainya. Jadi, ini adalah perlawanan yang penting untuk fungsi itu dan juga dari segi strategi paling berkesan," katanya kepada Majoriti.
Tegasnya, ia termasuk pendekatan yang bakal diambil barisan kejurulatihan melihat kepada kemampuan pasukan untuk melancarkan serangan atau mempertahankan gawang gol sendiri.
Selepas pertemuan di Stadium Thuwunna, Myanmar itu, skuad kebangsaan bakal beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Disember untuk berdepan cabaran daripada Laos.
Perlawanan itu pastinya tidak akan diambil mudah anak-anak buah Pan-gon apabila skuad kebangsaan pada edisi lepas gagal untuk melepasi peringkat kumpulan.
Dalam masa sama, Zulakbal turut berpendapat bahawa penyokong tegar bola sepak tempatan tidak perlu memberi tekanan besar kepada pasukan sekiranya mereka kurang menyerlah dalam kempen kali ini.
Bagaimanapun, dia juga percaya bahawa Pan-gon serta staf kejurulatihannya perlu menyedari akan kepentingan Piala AFF seperti mana yang sudah dibincangkan awal tadi.
"Untuk dia sebagai pengendali, dia perlu sedar apakah matlamat di sebalik penganjuran pertandingan dan sebab penyertaan menggunakan pemain yang sedikit berbeza.
"Jadi, mereka yang menentukan dan mengatur pasukan, mereka perlu sedar akan matlamat yang mana mereka mahu mempersiapkan skuad ke arah lebih besar, iaitu Piala Asia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram