KELAB bola sepak yang beraksi di Thai League 1, Ratchaburi FC dilaporkan sudah menandatangani pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid pada jendela perpindahan kedua musim 2022/23 baru-baru ini.
Perpindahan Safawi disifatkan bakal memberi cabaran besar kepada bintang berusia 25 tahun itu untuk mencari satu aras baharu dalam karier bola sepak selepas melalui satu fasa selesa di JDT.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, Safawi perlu segera membiasakan diri dengan game plan, corak permainan pasukan baharu dan liga Thailand itu sendiri.
"Selain cabaran dalam padang, Safawi juga perlu adapt cepat dengan cabaran luar padang. Dia kena membiasakan diri dengan budaya sosial di Thailand.
"Misalnya di Bangkok, kena tengok penempatan dia, di kawasan itu mungkin dia tidak dikelilingi orang Muslim, tiada tempat untuk makan dan ini sebenarnya memberi tekanan jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan cepat," katanya kepada Majoriti.
Sadek berkata, Safawi juga dikehendaki bekerja lebih keras dalam mempertingkatkan prestasi meliputi semua aspek kemahiran bola sepak supaya dia menjadi pemain yang relevan dan kompetitif.
Safawi ketika bermain dengan kelab Portimonense SC pada 2020. — Facebook
"Kalau nak tengok minit permainan, di JDT pun dia tak dapat main lebih kerana kelab itu banyak pemain import. Dia ke Thailand pun kerana memenuhi kuota Asean iaitu kuota terbawah...jadi dia kena kerja lebih kuat.
"Kalau dia selesa seperti mana dia di JDT, saya rasa dia tak lama seperti mana dia berada di Portugal suatu ketika dahulu," katanya.
Untuk rekod, Safawi terbang ke Portugal secara pinjaman ke Portimonese SC pada Oktober 2020 dan sempat menimba pengalaman selama tiga bulan sebelum kembali menyarung jersi Harimau Selatan.
Sementara itu, Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, Safawi perlu melihat cabaran bermain di Thailand yang memiliki kualiti lebih tinggi berbanding Liga Malaysia, sebagai satu pendekatan positif kepada dirinya.
"Dia kena lihat ini sebagai cabaran, bukan masalah...maksudnya dia perlu ubah mind set dia 360 darjah supaya sesuai dengan ekosistem bola sepak Thailand," katanya.
Sementara itu, Profesor Madya Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpendapat, Safawi dan rakan sepasukan, Moussa Sidibe mendapat peluang yang baik untuk mempertingkatkan prestasi dengan cabaran lebih kuat dari Thailand.
"Mereka kena rebut tempat jadi pemain utama, bukan simpanan. Jadi untuk dapatkan peluang tu, mereka kena bekerja lebih keras dalam latihan untuk mendapat tempat di mata jurulatih pasukan baharu mereka," katanya.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu pernah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 dan 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram