Anggap Terengganu, Selangor rumah kedua, legenda import mahu 'gantung but' di Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 09 Jan 2023

Penyerang kelahiran Liberia itu pernah mengemui jentera serangan beberapa pasukan Liga Super.

ANUGERAH Kasut Emas merupakan pencapaian tertinggi buat seorang penyerang kerana ia akan membuktikan ketajaman mereka di hadapan pintu gol lawan.

Dalam kancah bola sepak tempatan pula, anugerah tersebut kerap menjadi penanda aras akan kualiti seseorang pemain dalam kesungguhan mereka membantu pasukan sendiri.

Antara nama-nama yang sukar untuk dilupakan dalam muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super ialah penyerang kelahiran Liberia, Francis Forkey Doe.

Selepas berkelana beberapa tahun di Amerika Syarikat dan Timur Tengah, pemain bertubuh kecil itu memilih untuk melebarkan sayap kariernya di arena bola sepak tempatan.

Jadi, dengan Terengganu FA ketika itu cuba untuk mendapatkan khidmat penyerang, Forkey Doe dibawa masuk bagi membantu menajamkan lagi jentera serangan pasukan.

Pelaburan itu dilihat sememangnya membuahkan hasil apabila dia tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan nilainya buat pasukan apabila membawa pulang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2012.

felda-uniteds-francis-forkey-doe-celebrating-his-goal-2016_tabiisou6pt81m7buze6jpr2q

Forkey Doe ketika menyarung jersi Felda United pada 2016.

Meskipun dia berkongsi pencapaian itu dengan penyerang Negeri Sembilan FA, Jean-Emmanuel Effa Owana, 15 gol dalam 20 penampilan perlu dianggap sebagai sesuatu yang membanggakan.

Namun, pencapaian tersebut gagal untuk menambat hati pihak pengurusan apabila dia memilih untuk berkelana ke Selangor FA sebelum menyertai beberapa pasukan lain Liga Malaysia.

Kelibat pemain itu pastinya dirindui penyokong tegar bola sepak tanah air apatah lagi dengan Forkey Doe kini hilang dari radar.

Bagaimanapun, ketika ditanya Majoriti mengenai zaman-zaman kegemilangannya dalam negara, dia yang kini berusia 37 tahun seakan-akan merindui suasana bermusim-musim itu.

"Karier saya di Malaysia bermula bersama Terengganu dan pada ketika itu, saya rasakan bahawa saya berada di kampung halaman dengan rakyatnya cukup-cukup mesra dengan saya rasa diterima.

"Tetapi, bermain untuk Selangor dengan pemain seperti Amri Yahyah, Mahali Jasuli dan pemain yang bagus, ia merupakan pengalaman yang baik kerana persaingan cukup hebat di situ," katanya kepada Majoriti.

Sepanjang berada dalam Liga Malaysia, Forkey Doe tidak bernasib baik untuk menjulang sebarang trofi meskipun dia dilabel sebagai penyerang terbaik dalam pasukan.

Tambah Forkey Doe, ketika berada di Selangor FA, kehadiran ketua jurulatih berpengaruh, Irfan Bakti Abu Salim mengkehendaki seseorang untuk berada di tahap terbaik jika mahu diturunkan dalam kesebelasan utama.

"Coach Irfan adalah seorang yang baik secara peribadi, namun tegas kerana ketika itu, Selangor merupakan pasukan terbaik Liga Malaysia, tetapi saya cukup gembira bermain di kelab itu," katanya.

FELDA UNITED TRAINING / BANGI

Forkey Doe sangat mengagumi Irfan Bakti sebagai seorang ketua jurulatih.

Forkey Doe sekali lagi bekerjasama bersama Irfan iaitu ketika kedua-dua mereka berada di Felda United FC pada 2016 apabila mereka mencabar kejuaraan Liga Super daripada Johor Darul Takzim (JDT).

Selepas enam tahun dalam Liga Super, pemain tersebut berjaya menjaringkan 57 gol secara keseluruhan, yang mana meletakkannya di tangga kelapan carta penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Kini, pemain itu difahamkan masih bermain secara amatur bersama Imigresen FC yang berada dalam Liga M3 kerana sukar untuk berpisah dengan sukan tersebut.

"Sekarang, saya masih berlatih dengan Imigresen FC dan saya berada di tahap kecergasan terbaik. Saya juga bersedia untuk berdepan cabaran lain pada masa akan datang.

"Saya juga terbuka untuk menyertai mana-mana pasukan kerana saya cukup cinta dengan bola sepak dan berhasrat untuk menamatkan karier di Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram