ADAKAH peminat bola sepak tempatan mampu melupakan kelibat pemain bertubuh sasa, Dickson Nwakaeme yang pernah mewarnai Liga Super bersama Pahang FA dan Kelantan FA?
Selepas beraksi selama semusim bersama kelab Vietnam, SLNA, penyerang tersebut memilih untuk ke Pantai Timur tanah air untuk meneruskan kariernya dalam sukan itu pada 2012.
Dia yang ketika itu baru sahaja berusia 26 tahun menyertai The Red Warriors (TRW) yang berjaya mencatatkan antara musim terbaik dalam sejarah bola sepak tempatan dengan menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.
Oleh itu, cabaran dan harapan pastinya menggunung terhadap pemain kelahiran Nigeria itu, lebih-lebih lagi apabila mereka kehilangan dua tonggak utama, Mohammed Ghaddar serta Norshahrul Idlan Talaha.
Namun, dia seakan-akan tidak terkesan dengan bayangan itu apabila dia berjaya membuktikan sentuhan berbisanya di hadapan pintu gol lawan dengan menjaringkan 13 gol dalam kesemua pertandingan.
Tidak cukup dengan itu, dia juga berjaya menempa namanya sebagai antara import terbaik pernah disaksikan peminat bola sepak tanah air apabila membantu skuad TRW menjulang trofi Piala FA pada tahun yang sama.
Dickson (kiri) ketika bersama Kelantan FA pada 2013. — Agensi
Bagaimanapun, kemampuan dan kehebatan pemain yang diberi gelaran 'Orang Besi' itu terserlah apabila dia memilih untuk menyertai seteru utama TRW, Pahang FA ketika jendela perpindahan 2013.
Sepanjang menyarung jersi Tok Gajah, Dickson sekali lagi meninggalkan legasinya dengan membantu pasukan itu muncul sebagai antara pasukan terbaik dalam arena bola sepak tempatan.
Tidak cukup dengan itu, pasukan yang ketika itu berada di bawah kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan cukup mendambakan sumbangannya, lebih-lebih lagi ketika pentas akhir Piala Malaysia.
Selepas ketinggalan dengan skor 1-2 pada minit ke-70 perlawanan, Dickson menambah jaringan peribadinya dengan mudah menolak masuk bola, sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Sentuhannya sekali lagi membawa keriangan kepada penyokong Tok Gajah apabila dia juga menjadi watak penting ketika pentas akhir Piala FA 2014 menentang Felda United di Stadium Shah Alam, Selangor.
Pada minit ke-80, Pahang yang ketika itu ketinggalan dengan satu gol berjaya mengikat kedudukan apabila Dickson menyumbang jaringan penyamaan, sekali gus menjatuhkan moral pihak lawan.
Prestasi tersebut juga berjaya menarik perhatian beberapa kelab luar sebelum pada jendela perpindahan 2016, kontraknya bersama pasukan itu tidak akan disambung dengan kelab Perancis, Angers SCO menyatakan minat untuk mendapatkannya.
Dickson mengambil keputusan untuk pulang bersama Pahang FA pada 2019. — Pahang FA
Tetapi, perubahan dari segi suasana menyaksikan Dickson gagal untuk menyesuaikan diri sebelum dia memilih untuk meninggalkan benua Eropah walaupun mengetahui dia tidak akan bersama mana-mana pasukan.
Namun, menyedari bahawa pemain tersebut terbuka untuk kepulangannya ke arena bola sepak tempatan, Pahang sekali lagi mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmatnya.
Meskipun dia tidak dapat mengulangi prestasinya bersama pasukan itu, rindu penyokong untuk melihat kelibatnya seakan-akan terubat dengan dia membantu mereka menerusi sembilan gol dalam kesemua kejohanan.
Pada 2021, Dickson akhirnya memilih untuk menamatkan kariernya ketika berusia 35 tahun selepas kemampuannya dari segi fizikal serba sedikit merosot saban tahun.
Bagaimanapun, kebelakangan ini, penyerang berketinggian 1.84m itu sepertinya masih merindui kenangan bersama Pahang apabila kerap memuat naik foto dengan menyarung jersi kelab tersebut.
Hal itu dilihat menerima respons positif dalam kalangan penyokong Tok Gajah yang mengalu-alukan kepulangannya walaupun sekadar hanya sebagai staf kejurulatihan.
Tetapi, ketika ditanya Majoriti baru-baru ini, Dickson berkata, dia masih terbuka untuk bekerjasama sekali lagi bersama kelab itu, namun bukan sebagai seorang pengendali.
"Ya, saya sering mengekori perkembangan pasukan dan saya masih kerap berhubung bersama mereka. Saya pasti akan ke Malaysia satu hari kelak, tetapi bukan sebagai jurulatih kerana saya tidak mahu menceburi bidang itu," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan perkongsian di laman Instagram peribadinya, Dickson seolah-olah terlibat dalam aktiviti bola sepak akar umbi bagi membangunkan wajah-wajah baharu di negara kelahirannya itu.
Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai pengalamannya dalam Liga Malaysia, dia berpendapat sokongan daripada peminat tegar Tok Gajah lebih bersemangat berbanding sepanjang berada di Kelantan FA.
"Pada saya, kedua-dua mereka memiliki satu persamaan, iaitu dari segi penyokong yang hadir ke stadium. Mereka sememangnya fanatik mengenai bola sepak.
"Ia merupakan salah satu momen terbaik sepanjang karier saya dan kadang-kadang, saya akan tersenyum sendiri setiap kali teringat untuk bermain bersama Pahang FA kerana penyokong kerap menyebut nama saya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram