JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan.
MetMalaysia berkata, kawasan dijangka terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala di Terengganu melibatkan sekitar Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku di Sabah bermula 9 hingga 11 Januari depan, melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) atau Daerah (JPBD) hendaklah diaktifkan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
MetMalaysia turut memohon JPBN atau JPBD memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas manakala Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan bersedia untuk digunakan.
Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara melalui Pusat Kawalan Bencana Negara akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram