Import baharu Kedah pernah pengsan ketika beraksi, terpaksa dikejarkan ke hospital


  • Podium
  • Ahad, 08 Jan 2023

Tiga pemain import baharu yang beraksi bersama KDA FC, (dari kiri) Bojan Ciger, Manuel Hidalgo dan Willian Lira Sousa. — Facebook/KDA FC

MAHU tampil lebih garang musim depan, Kedah Darul Aman (KDA) FC menerusi memperkenalkan tiga pemain import baharu pada 5 Januari lalu.

Tiga pemain import yang diperkenalkan pemilik Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar ialah pemain penyerang, Willian Lira Sousa (Brazil), pemain pertahanan, Bojan Ciger (Serbia) dan bekas pemain import Sri Pahang, Manuel Hidalgo.

Namun, seorang daripada mereka iaitu Ciger, 28, sebelum ini pernah mengalami masalah kesihatan hingga menyebabkan kerisauan bukan sahaja kepada penyokong, tetapi juga rakan sepasukan.

Pada 2019, sewaktu beraksi di liga Montenegro bersama Sutjeska FC, pemain itu pernah pengsan sewaktu perlawanan menghampiri separuh masa pertama.

maxresdefault (2)

Bojan Ciger sewaktu beraksi untuk kelab Sutjeska FC. — Agensi

Malah, perlawanan sewaktu bertemu Buducnost FC itu juga terhenti seketika kerana Ciger perlu dibawa ke hospital dalam keadaan segera.

Ketika itu, Ciger dikatakan mengalami serangan jantung yang menyebabkan dia pengsan.

Malah, walaupun pasukannya menang 4-1 ketika itu, rakan sepasukan tidak meraikan kemenangan sebaliknya lebih merisaukan keadaan Ciger.

Sejam selepas perlawanan barulah Pengarah Sutjeska FC, Nikola Jovovic mengesahkan bahawa Ciger berada dalam keadaan stabil.

Malah, Jovovic juga mengesahkan bahawa Ciger bukannya terkena serangan jantung, tetapi mengalami masalah pernafasan.

Laporan perubatan mendapati tiada sebarang masalah serius dihadapi Ciger dan puncanya rebah adalah disebabkan kekurangan oksigen.

"Semuanya berada dalam keadaan baik. Semua laporan kesihatan adalah baik, saya cuma mengalami masalah dengan pernafasan," katanya.

Untuk rekod, Februari depan merupakan aksi pertama Ciger dalam Liga Super bersama KDA FC selepas beraksi bersama kelab Navbahor sebelum ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram