RANCAK diperkatakan dalam kalangan penyokong Kelantan FC berhubung bekas import pasukan itu, Jack Hindle yang kononnya menawarkan diri untuk bermain bersama skuad The Red Warriors (TRW) semula.
Namun awal-awal lagi sebahagian besar penyokong nampaknya seakan-akan memberi signal enggan melihat pemain dari Warrington, England itu menyarung jersi Kijang Merah semula.
Ini kerana mereka berasakan pemain itu tidak cukup bagus untuk dibawa masuk semula ke dalam pasukan, lebih-lebih lagi TRW bakal bersaing di Liga Super musim ini.
"Zam (Norizam) message me...I'm happy to come and sign again for Kelantan. It would be something I'd be very interested in. (Zam ada hubungi saya...Saya gembira untuk menyertai Kelantan semula. Ia sesuatu yang menarik minat saya)," katanya dalam satu tangkap layar komen yang dikongsikan di Facebook Panthera Tigris Jacksoni Group.
Memberi reaksi terhadap mesej tersebut, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, dia tidak pernah menghubungi Hindle berhubung tawaran kontrak dengan TRW bagi musim depan.
Dia menyifatkan mesej Hindle itu mungkin sengaja dibuat-dibuat untuk menjadi modal berborak dalam kalangan penyokong yang ternanti-nanti barisan baharu skuad TRW.
"Tak ada lah (saya mesej dia berkenaan kontrak). Pandai-pandai saja dia tu. Ayat dia merepek saja," katanya kepada Majoriti ketika diminta mengesahkan jika ada tawaran sedemikian dibuat kepada pemain tersebut.
Andai kenyataan Hindle itu dinafikan oleh Norizam, mungkin pemain berusia 28 tahun itu hanya sekadar mencuba nasib memancing tempat dalam pasukan TRW.
Liga Malaysia 2023 berwajah baharu apabila Malaysian Football League mengorak langkah dengan melakukan penstrukturan semula bagi memastikan liga bola sepak profesional lebih dinamik dan berdaya saing.
Setiap pasukan Liga Super akan dibenarkan untuk menyenaraikan lima pemain lebih umur dalam Liga Simpanan tetapi hanya tiga pemain lebih umur termasuk import maksimum dua pemain dibenarkan beraksi di atas padang bagi menjamin minit permainan untuk sekurang-kurangnya lapan pemain tempatan B-23 pada setiap masa. Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram