'Pawi is back', 3 bintang 'hilang atas padang' boleh ikut jejak Safawi Rasid andai dapat lebih minit permainan


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Persembahan Safawi Rasid di Piala AFF 2022 menerima pujian ramai selepas kembali mempamerkan aksi memukau seperti di era kegemilangannya. — Instagram/Safawi Rasid

PERSEMBAHAN cemerlang Safawi Rasid dalam beberapa perlawanan di Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 yang sedang berlangsung ketika ini menerima pujian ramai dengan rata-ratanya berpendapat pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu sudah kembali ke zaman kegemilangannya.

Meskipun belum mencatatkan nama sebagai penjaring gol, namun kelincahan pemain itu yang sentiasa memberikan hantaran bijak kepada pemain lain dilihat lebih memukau dan kembali berjaya menambat hati penyokong.

Pemain kelahiran Terengganu itu sebelum ini menerima kritikan ramai susulan persembahannya yang dikatakan semakin merudum dan kurang menyerlah bersama JDT pada musim lepas.

Jika sebelum ini namanya kerap disenaraikan sebagai kesebelasan utama skuad Harimau Selatan, musim lepas pemain itu lebih kerap memanaskan bangku simpanan berbanding rakan sepasukannya Arif Aiman yang semakin meningkat naik.

Diberikan kepercayaan selaku ketua pasukan bersama Faisal Halim di Piala AFF, Safawi mempamerkan persembahan yang meyakinkan selepas beberapa kali diturunkan sebagai kesebelasan utama oleh jurulatih Kim Pan-gon.

Berhubung perkara itu, minit permainan merupakan taruhan serta faktor utama dalam situasi tersebut dengan kelebihan pemain yang sering diturunkan di atas padang, dipercayai mampu membuahkan hasil jika mereka diberikan lebih peluang dan masa untuk kembali kepada prestasi sebenar.

Selain Safawi, berikut tiga lagi nama bintang yang disebut-sebut tidak mustahil bakal mengikut jejak langkah sama sekiranya diberikan peluang dan minit permainan yang lebih bersama kelab masing-masing:

dani

Danial Amir

Anak jati Kuala Lumpur ini pernah mencetuskan sensasi dalam bola sepak tanah air apabila berjaya mempamerkan aksi memukau pada Kejuaraan B-23 AFC di China pada 2018.

Pemain berusia 25 tahun itu berjaya menjaringkan gol ketika Malaysia menewaskan Arab Saudi dengan keputusan 1-0 pada Kejuaraan tersebut sekaligus membantu Malaysia mara hingga ke suku akhir untuk kali pertama dalam sejarah kejohanan.

Namun, mutu permainannya kian merudum selepas menyertai pasukan JDT pada 2020 dengan hanya mencatatkan 20 penampilan sepanjang mewakili pasukan Harimau Selatan.

Setakat ini hanya dua jaringan berjaya dicetak pemain ini dan selebihnya hanya memanaskan kerusi bangku simpanan selepas gagal menyaingi beberapa lagi pemain handalan yang beraksi di posisinya.

luman

Luqman Hakim

Siapa yang tidak mengenali pemain muda berbakat berasal dari Kelantan ini?

Luqman Hakim merupakan antara pemain yang masih bertahan di negara Eropah selepas beliau meninggalkan Selangor pada 2020 untuk mewakili kelab KV Kortrijk yang beraksi di liga Belgium.

Meskipun penghijrahannya menerima sokongan ramai, kelibat pemain itu bersama kelab yang beraksi di liga divisyen satu itu kurang kelihatan selepas hanya membuat satu penampilan bersama skuad senior pasukan tersebut.

Luqman yang digelar 'wonder kid' satu ketika dahulu merupakan pemain pertama Malaysia yang pernah memenangi Anugerah Kasut Emas dalam saingan AFC B-16 selepas menjaringkan lima gol ketika bertemu Tajikistan dan Thailand.

Ada pihak berpendapat bahawa sudah tiba masanya pemain itu dibawa pulang dan kembali beraksi di negeri kelahirannya, Kelantan FC yang dilihat mampu memberikan minit permainan yang lebih, sekali gus mengembalikan semula sentuhan dan corak permainan asalnya.

adib

Adib Zainuddin

Bekas kapten skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Adib Zainuddin merupakan pemain yang pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada Kejohanan AFC B-23 di Bangkok pada 2017.

Gandingan mantapnya bersama Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin ketika itu merupakan antara trio pertahanan terbaik yang pernah dimiliki pasukan negara.

Pernah menyarung jersi pasukan JDT, namun jodohnya bersama kelab itu tidak berpanjangan apabila menerima tawaran daripada Terengganu FC pada 2022.

Namun, nasib serupa dihadapi pemain berketinggian 1.80 meter itu apabila jarang diturunkan sebagai kesebelasan utama sepanjang bersama skuad Penyu.

Hanya lima penampilan dimiliki pemain ini pada musim lepas yang sekali gus mengakibatkan namanya kian pudar dalam ingatan penyokong yang satu ketika dahulu amat menyanjungi pemain tinggi lampai itu.

Ketiga-tiga pemain ini sememangnya memiliki bakat dan gaya permainan yang menarik, namun tindakan pengurusan serta jurulatih pasukan yang enggan menyenaraikan mereka sebagai pemain dalam perlawanan telah merugikan kebolehan yang sedia ada.

Justeru, tidak salah sekiranya mereka diberikan kepercayaan oleh jurulatih ataupun mungkin lebih wajar jika pemain-pemian ini dilepaskan ke kelab lain yang mungkin boleh mengembalikan era kegemilangan mereka.

Satu kerugian besar bagi pasukan negara sendiri sekiranya pemain ini dibiarkan begitu sahaja kerana rata-rata usia mereka masih boleh dikategorikan sebagai 'muda' dan selayaknya diberikan peluang lebih untuk mereka terus maju kehadapan dalam arena bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram