Bukan Brendan Gan, tapi fans namakan anak jati, hero Sang Kenari sarung jersi BB7


  • Podium
  • Ahad, 11 Dis 2022

Aksi Fadzrul Danel ketika Kedah bertemu Terengganu FC pada saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Julai lalu. — Bernama



BAGI dua musim berturut-turut, jersi bernombor 7 kepunyaan legenda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar masih tiada pemakai yang selayaknya.

Bahkan pihak pengurusan KDA FC menyatakan memang sukar untuk menemui pengganti yang setara untuk menyarungkan jersi pemain prolifik berkenaan.

Kalau adapun hanya cakap-cakap dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang berasakan mungkin Brendan Gan adalah calon sesuai untuk menyarung jersi itu berdasarkan kredibilitinya atas padang.

Itupun ada yang menolak mentah-mentah kerana pemain kacukan Cina-Australia itu bukan pemain sejati yang dilahirkan oleh kelab Sang Kenari, tidak seperti Baddrol yang memulakan karier bola sepak dengan pasukan belia Kedah ketika usianya 17 tahun.

Malah bekas jurulatih double treble Kedah, Azraai Khor Abdullah berpendapat, kredibiliti sahaja tidak cukup untuk melayakkan Brendan menyarung jersi nombor 7 milik Baddrol.

Benjamin-Mora-Tertarik-Fadzrul-Danel-1024x682

Fadzrul Danel boleh terus digilap dan diasah bakatnya menjadi jeneral padang seperti Baddrol. — MFL

Di sebalik 'perdebatan' itu, ada penyokong skuad Hijau Kuning berpendapat, jersi keramat itu lambat laun pasti akan menjadi milik pemain lain suatu hari nanti.

Dengan penyertaan Nafuzi Zain di KDA FC, tentunya ketua jurulatih baharu itu mahu membina dan menggilap bakat-bakat muda di negeri Jelapang Padi tersebut.

Seorang penyokong Kedah, Mohammad Naim Fu berpendapat seorang pemain muda Sang Kenari iaitu Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam boleh terus digilap dan diasah bakatnya menjadi jeneral padang seperti Baddrol.

"Aku nak tengok Fadzrul Danel yang sarung jersi Badd sebab keypass killer yang dia miliki. Aku nampak dia yang boleh ganti Badd di Kedah," katanya.

Bermain di posisi tengah, anak jati Kedah itu dianggap memiliki sedikit persamaan dengan Baddrol yang mana kedua-duanya pernah menyertai Sukan Malaysia (Sukma) dan membantu pasukan memenangi pingat perak.

Baddrol mewakili Sukma 2006 manakala Fadzrul Danel (Sukma 2018).

KUALA LUMPUR, 27 Julai -- Pemain Kedah Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam didukung rakan sepasukan, Edgar Bernhardt ketika meraikan kemenangan pada final Piala FA 2019 Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.Kedah muncul juara Piala FA 2019 setelah menewaskan Perak 1-0.--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fadzrul Danel pernah dijulang sebagai wira Kedah selepas membantu pasukan memenangi Piala FA 2019 — Bernama

Menerusi persembahan di peringkat Sukma, mereka mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Kedah dan memulakan debut masing-masing bersama KDA FC.

Baddrol beraksi sulung ketika saingan Piala Malaysia bagi musim 2005/2006 manakala Fadzrul Danel pula untuk Piala FA 2019.

Pemain berusia 24 tahun itu pernah muncul wira selepas menjadi pencetak tunggal dan membolehkan Kedah muncul juara mengalahkan Perak 1-0 dalam aksi final Piala FA 2019.

Untuk rekod, Fadzrul Danel merupakan salah seorang daripada lapan pemain yang dikekalkan di KDA FC di bawah kejurulatihan baharu. Mereka yang lain ialah Mohammad Fayadh, Amirul Hisyam, Rodney Celvin, Akmal Zahir, Mohd Aiman Afif, Ifwat Akmal dan Ariff Farhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram