JURULATIH muda, Nafuzi Zain dirasakan mampu membimbing pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerusi pengalaman dan falsafah bola sepak moden yang menjadi pegangannya sekali gus mengembalikan kegemilangan skuad Sang Kenari.
Bekas ketua jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, Nafuzi juga dilihat bakal mempersiapkan pemain-pemain muda sebagai pelapis untuk diserapkan ke dalam pasukan senior satu hari nanti.
"Dari segi sejarah bersama Terengganu FC pun, dia banyak bentuk pemain-pemain muda. Dari segi pembangunan, pasukan itu dah ada satu DNA dari skuad belia hingga skuad senior.
"Kalau tengok skuad belia, skuad Piala Presiden dan Sukma (Sukan Malaysia), pasukan Terengganu mempamerkan aksi cemerlang. Di situ, kita tengok dia ada satu kekuatan iaitu banyak naikkan pemain muda.
"Sama juga kalau tengok corak permain Terengganu FC sejak dia ambil alih pun memang sangat berbeza dari dulu," katanya kepada Majoriti.
Pemilihan pemain import antara 'privilege' yang perlu diberikan kepada jurulatih sesebuah pasukan. — Facebook
Azraai berkata, di Kedah, Nafuzi bagaimanapun perlu sedikit masa untuk mencorakkan pasukan itu mengikut rancangan dan acuannya.
"Penyokong tak boleh expect macam-macam, dia perlukan masa untuk meneliti pelan, tengok corak permainan dan sebagainya mengikut cara Nafuzi Ball," katanya.
Untuk merasai kemanisan itu, Azraai berkata, Nafuzi perlu mendapat sokongan dan kerjasama baik daripada pihak pengurusan dari pelbagai sudut termasuk dari segi pemilihan pemain tempatan dan import.
Menurutnya, pengurusan perlu sediakan pemain-pemain muda dalam program pembangunan untuk digilap bakat mereka seperti apa yang dilakukan Nafuzi bersama kelab Pantai Timur itu.
"Begitu juga dengan pemilihan pemain untuk skuad utama, jurulatih ni bila dia join sesebuah pasukan, dia ada requirement dia nak pemain tertentu, import tertentu bagi bentuk satu kombinasi dalam pasukan seperti yang dikehendakinya," kata Azraai.
Jurulatih yang pernah membawa Kedah menjulang 'double treble' itu juga berkata, pengurusan Kedah perlu duduk berbincang dengan Nafuzi supaya kedua-dua pihak dapat merangka dan merencana hala tuju pasukan.
"Apapun pengurusan kena bagi kerjasama yang padu dan erat. Kalau dia dapat kerjasama sedemikian, rasanya tiada masalah. Dia (Nafuzi) berkebolehan, kena bagi masa buat dia," katanya.
Antara pemain muda di Terengganu FC yang digilap oleh Nafuzi. — Facebook
Mengulas mengenai harapan tinggi penyokong, Azraai turut meminta peminat bola sepak Kedah memberi sokongan terhadap Nafuzi dan pasukan baharu nanti.
"Dia bukan magician, kena bagi dia masa... tapi Nafuzi ni tahu what to expect daripada penyokong Kedah. Dia dah memahami budaya bola sepak Kedah sebab dia pernah bersama dengan pasukan ini suatu ketika dahulu semasa di bawah kejurulatihan saya.
"Dia dah pernah alami suasana dalam stadium dan sebagainya. Waktu Kedah di era kegemilangannya, tambahan lagi pada zaman 'double treble' era, Nafuzi ada menyaksikan fenomena tersebut, jadi ia pengalaman bagus untuknya," ujar Azraai.
Pada Selasa, teka-teki mengenai kontrak Nafuzi terjawab selepas pengurusan Terengganu FC mendedahkan jurulatih berusia 44 tahun itu menolak tawaran yang diberikan pada Oktober lepas.
Nafuzi sebelum ini difahamkan menerima tawaran beberapa kelab Liga Malaysia terutama KDA FC yang tidak mempunyai pengendali sejak pemecatan Aidil Sharin Sahak pada September lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram