Bekas rakan sepasukan dedah Nafuzi miliki skil taktikal sejak usia muda, harap yang terbaik jika ke KDA FC


  • Podium
  • Jumaat, 02 Dis 2022

Nafuzi akhirnya memilih untuk meninggalkan Sang Penyu selepas bertahun-tahun membimbing kelab itu. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS hampir empat musim menabur bakti bersama Terengganu FC, ketua jurulatih, Nafuzi Zain akhirnya memilih untuk meninggalkan pasukan Pantai Timur itu.

Kejayaan untuk membimbing kelab itu ke pentas akhir Piala FA dan muncul sebagai naib juara Liga Super menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Selain sering menurunkan pemain dengan kesebelasan utama terbaik, pengendali kelahiran Kelantan itu turut dipuji dengan kualiti serta gaya permainan di atas padang.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila beberapa pasukan Liga Malaysia dikatakan berebut untuk mendapatkan khidmatnya, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Skuad Sang Kenari musim ini berdepan isu prestasi sepanjang musim sehingga menyaksikan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak dilepaskan daripada tugasan Oktober lalu.

Tidak cukup dengan itu, bekas kapten pasukan, Victor Andrag yang dilantik sebagai ketua jurulatih sementara turut berdepan nasib sama ketika kempen Piala Malaysia.

Jadi, perkara itu seakan-akan membuka pintu luas buat Nafuzi untuk mengendalikan juara Piala FA 2019 tersebut dengan khabar angin mengatakan persetujuan sudah dicapai antara kedua-dua pihak.

1457008

San Martin (kiri) merupakan antara import terbaik yang pernah dimiliki skuad Sang Kenari. Agensi

Namun, persoalan mula timbul dalam kalangan penyokong Hijau Kuning yang tidak yakin dengan kemampuan pengendali berusia 44 tahun tersebut selepas gagal menjulang sebarang kejuaraan ketika bersama Terengganu FC.

Di samping itu, orang ramai juga tertanya-tanya mengenai kualiti skuad Sang Kenari yang ketika ini dilihat perlu mendapatkan sebilangan pemain dalam kesemua posisi.

Tetapi, bagi bekas rakan sepasukan Nafuzi yang juga merupakan antara import terbaik KDA FC, Nelson San Martin, dia percaya bakat jurulatih itu tidak boleh dipersoalkan.

"Saya pernah bermain dengan dia (Nafuzi) pada 2006 di Kedah, tetapi ketika itu, dia tidak bermain dengan terlalu kerap. Namun, sekarang, saya dengar yang dia sudah menjadi antara jurulatih terbaik bersama Terengganu.

"Jadi, saya mengharapkan yang terbaik sekiranya dia memilih untuk menjadi jurulatih di Kedah," katanya kepada Majoriti.

Kedua-dua pemain sebelum ini pernah bergandingan ketika pasukan Utara tanah air itu memegang takhta bola sepak tempatan sebelum Nafuzi akhirnya memilih untuk pulang ke negeri kelahiran.

76259412_3052000788149780_2649247140840210432_n

Nafuzi pernah beraksi bersama Kedah FA ketika zaman kegemilangan pasukan itu. Agensi

Bagi San Martin pula, dia berjaya meraih pelbagai kejuaraan dengan muncul antara pemain tengah terbaik Kedah setelah merekodkan jumlah jaringan gol yang membanggakan.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai kredibiliti serta sikap kejurulatihan Nafuzi, pemain kelahiran Chile itu berpendapat kebolehannya dari segi taktikal sudah dapat diperhatikan sejak dahulu lagi.

"Ketika saya bermain dengannya, dia mempunyai pemahaman yang cukup mendalam dari segi taktikal walaupun ketika itu dia masih muda, iaitu pada 2006.

"Dia merupakan seorang pemain yang bagus dari sudut itu dan perkara itu sukar untuk dilihat dalam mana-mana pemain ketika itu sebagaimana boleh diperhatikan hari ini," katanya.

Sebelum ini, bekas ketua jurulatih Kedah FA, Azraai Khor Abdullah seakan-akan memberi gambaran bahawa Nafuzi bakal mengendalikan kelab itu menerusi satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, pihak pengurusan kelab masih tidak mengeluarkan kenyataan rasmi dengan mereka dilihat sedang memberi perhatian penuh untuk melakukan rombakan skuad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram