PEMERGIAN legenda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar ke Sabah FC musim ini sememangnya amat dirindui para penyokong skuad Hijau Kuning.
Kelab Sang Kenari ibarat patah sayap dan hilang seri tanpa Baddrol yang bermain untuk pasukan KDA FC sejak tahun 2006.
Bahkan jersi nombor 7 yang pernah disarung Baddrol semasa di Kedah masih belum menemui pemain yang sesuai meskipun Liga Malaysia memasuki musim baharu tahun depan.
Adapun, segelintir penyokong yang berpendapat bintang Selangor FC, Brendan Gan mungkin boleh menjadi pemilik baharu jersi nombor 7 itu berdasarkan kredibilitinya atas padang.
Ini selepas pemain kacukan Cina-Australia yang berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Sang Kenari pada musim depan.
Aksi Baddrol ketika bersama KDA FC. — Facebook
Begitupun, ketua jurulatih double treble Kedah, Azraai Khor Abdullah tampil mempertahankan reputasi Baddrol yang dianggap tiada tandingan dalam sejarah pasukan Kedah.
Beliau berkata, Baddrol menjadi watak penting dalam bola sepak Kedah dalam mencipta kejuaraan demi kejuaraan sehingga skuad Hijau Kuning menjadi pasukan disegani dalam Liga Malaysia.
"Bagi saya, melihat kepada pencapaian Baddrol, tiada mana-mana pemain boleh achieve macam dia. Berapa banyak Brendan Gan cipta kemenangan untuk Kedah?
"Sebagai kapten pasukan ketika di bawah kendalian saya, dia (Baddrol) yang jadi perancang utama dalam padang hingga bawa Kedah julang trofi Piala Malaysia, Piala FA, serta jadi juara Liga Super.
"Jangan banding Badd dengan pemain lain...kena tengok years of service, silverware he has worn, pencapaiannya di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.
Brendan memiliki karakter tersendiri namun belum cukup layak menyarungkan jersi nombor 7 milik Baddrol di KDA FC. — Facebook
Menurut Azraai, Brendan Gan memiliki karakter tersendiri, namun ia tidak boleh disamakan dengan pencapaian Baddrol hingga melayakkannya menyarung jersi nombor 7 yang pernah menjadi milik bekas jeneral Kedah itu.
"Dari segi karakter, ya dia ada sesuatu. Dia main untuk pasukan Harimau Malaya, dan berusaha keras untuk buat come back selepas kecederaan yang dialami.
"Itu dia punya pencapaian peribadi tapi ia tak boleh dibandingkan dengan glory yang Baddrol pernah sumbangkan buat Kedah sepanjang khidmatnya," katanya.
Baddrol menyarungkan lilitan kapten dan jersi nombor 7 di Sabah FC. — Facebook
Sepanjang tempoh beraksi di Kedah, Baddrol melakukan 355 penampilan dan menjaringkan 116 gol daripada posisi pemain tengah.
Menerima jolokan Kapten Marvel, Baddrol juga pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Sedekad sejak 2011 hingga 2020.
Bersama Sabah FC, kapten pasukan itu berjaya mencetak lapan gol peribadi dan empat bantuan gol menerusi 25 penampilan sepanjang musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram