Saya penat dengan bola sepak Malaysia — Azraai Khor


  • Podium
  • Selasa, 29 Nov 2022

Azraai berkata, sehingga kini masih ada pasukan yang menagih khidmatnya namun beliau sudah bertekad untuk berehat. — Facebook

PENAT melayan ragam pihak pengurusan pasukan yang disifatkan masih di takuk lama punca jurulatih bola sepak berpengalaman Mohd Azraai Khor Abdullah mengambil keputusan untuk bersara daripada bidang kejurulatihan di peringkat domestik.

Mohd Azraai mendedahkan penamatan kontrak beliau selepas hanya kira-kira tiga bulan membimbing Negeri Sembilan pada musim 2018 merupakan kemuncak kepada keputusannya untuk bersara walaupun menerima pelbagai tawaran selepas itu.

Pengendali berusia 70 tahun itu berkata sehingga kini masih ada pasukan yang menagih khidmatnya namun beliau sudah bertekad untuk berehat.

"Saya penat dengan bola sepak Malaysia... selepas insiden dengan Negeri Sembilan, saya ambil keputusan sudah sampai masa saya bersara daripada bola sepak khususnya Liga Malaysia (Liga-M).

"Apa yang buat saya terkilan ialah melayan kerenah pengurusan pasukan, bagi saya kebanyakan pasukan lebih kurang saja... tengoklah macam-macam insiden lagi-lagi di penghujung musim ini, bagi kontrak saat akhir, kontrak separuh jalan dan macam-macam lagi,” katanya.

AZRAAI

Azraai mencipta kejayaan bersejarah ‘double treble’ bersama Kedah. — Facebook

Ketika bersama Negeri Sembilan sebelum ini, kontrak Mohd Azraai ditamatkan serta-merta oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) selepas pasukan itu hanya mencatat dua keputusan seri daripada lima perlawanan Liga Super di bawah kendaliannya.

Beliau yang mencipta kejayaan bersejarah ‘double treble’ bersama Kedah dengan memenangi Liga Super, Piala FA serta Piala Malaysia pada musim 2007 dan 2008 mengakui terkilan ditamatkan kontrak tanpa diberikan peluang melakukan rombakan pasukan dalam usaha memulihkan prestasi skuad Hobin Jang Hobin itu.

Mohd Azraai sebelum ini diaporkan antara jurulatih tempatan menghantar permohonan untuk menjadi pembantu ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang menyaksikan bekas pengendali Sarawak United, E. Elavarasan dilantik menjawat posisi itu.

Dalam pada itu, beliau berharap dimensi baharu bola sepak tanah air melalui proses penswastaan kelab dapat menyelesaikan segala masalah berkaitan ketidakcekapan pengurusan.

"Kalau tidak bola sepak kita tidak akan ke mana... kita tengok Arab Saudi dan Jepun sudah pun buktikan yang kita mesti profesional sepenuhnya dengan pasukan diuruskan oleh mereka yang profesional,” katanya yang kini aktif sebagai pundit dan sering dipanggil berkongsi pengalaman dalam klinik bola sepak.

Mohd Azraai juga pernah menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Muda A, Perak, T-Team, Kelantan dan Sabah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram