
TANDA tanya mengenai status tiga pemain import Terengganu FC (TFC), Luke Woodland, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic akhirnya terjawab apabila mereka disahkan masih kekal bersama pasukan itu sehingga musim ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFCSB), Ab Rasid Jusoh, yang mengesahkan bahawa ketiga-tiga pemain tersebut masih memiliki kontrak setahun dengan TFC.
Menurutnya, walaupun ketiga-tiga pemain tersebut jarang beraksi dalam perlawanan musim lalu, mereka masih terikat dengan skuad Penyu kerana telah menandatangani kontrak dua tahun iaitu bagi musim 2022 dan 2023.
"Status Woodland, Redzovic dan Mintah, masih lagi pemain TFC kerana dah tandatangan kontrak dua musim. Cuma Woodland adalah sesetengah pasukan yang nak pinjam dan sebagainya.
"Tetapi kita yakin Woodland kalau berlatih betul-betul dan tiada kecederaan boleh bermain dengan baik. Sebab itulah peringkat pemilihan awal dahulu dia dimasukkan ke dalam pasukan," katanya.
Saat-saat bahagia Redzovic ketika diijab kabulkan bersama isterinya, Nurrafiana Azman pada Ogos 2019. — Agensi/La Bola Malaya
Dalam pada itu, Ab Rasid berkata, pihaknya masih dalam proses mendaftarkan Redzovic sebagai pemain naturalisasi musim depan.
Katanya, pemain pertahanan kelahiran Montenegro itu sudah melengkapkan syarat utama yang diperlukan iaitu beraksi selama lima tahun dalam kancah Liga-M.
"Perkara ini kita dah bawa kepada Jabatan Imigresen dan dalam proses... akan ambil masa. Selain memenuhi syarat tersebut, dia juga telah berkahwin dengan gadis tempatan,” katanya.
Redzovic, 30, mula beraksi dalam saingan Liga-M bersama Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) pada 2018 hingga 2019 dan kemudiannya menyertai Terengganu pada 2020 sehingga sekarang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram