Sepak mula Liga Super Feb 2023, rundingan ‘pintu belakang’ antara 3 isu berbangkit diharap tak lagi berulang


  • Podium
  • Isnin, 02 Jan 2023

Ting (tengah) sebelum ini didakwa menyertai skuad Harimau Selatan melalui 'pintu belakang'. — Bernama

BARU-BARU ini, pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa pasukan Liga Super mempunyai tempoh kurang dua bulan untuk menyiapkan pasukan menjelang sepak mula yang dijadualkan pada 24 Februari 2023.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Sturt Ramalingam yang turut menjelaskan bahawa jadual perlawanan Liga Super musim depan sudah siap dan hanya menunggu maklum balas daripada pemegang taruh dan pihak berkaitan.

Tambahnya, penyusunan jadual Liga Super dibuat dengan lebih teliti kerana perlu mengambil kira perlawanan Liga Simpanan (Reserve League) untuk memberi ruang dan peluang pasukan melakukan transisi pemain masing-masing.

Bermula dengan pemilihan jurulatih sehingga kepada melakukan rombakan pemain, pasti setiap kelab Liga Super kini sedang mempersiapkan pasukan masing-masing bagi menghadapi saingan musim depan.

Bagaimanapun, di sebalik dengan kehangatan berita perpindahan pemain ataupun lantikan pengendali baharu, terdapat tiga perkara berbangkit yang diharap tidak lagi mencemari suasana bola sepak tanah air pada musim 2023.

Mana tidaknya, tiga isu utama yang menjadi kerisauan penyokong itu bukan kali pertama berlaku, malah ia seperti sudah menjadi 'adat resam' dalam kancah liga domestik selama ini.

Berikut merupakan tiga isu berbangkit yang diharapkan oleh penyokong bola sepak tempatan agar tidak lagi berulang dalam saingan Liga Super musim depan:

1) Masalah tunggakan gaji

WhatsApp Image 2023-01-01 at 20.55.43

Tangkap layar pemain Melaka FC meminta pertolongan pemilik JDT, Tunku Ismail.

Masalah tunggakan gaji dalam liga bola sepak Malaysia dianggap sudah menjadi ‘barah’ dan mengambil masa untuk sembuh kerana hampir setiap tahun ada sahaja kelab yang terpalit dengan isu berkenaan.

Sehinggakan pasukan Liga Super musim 2022 iaitu Sarawak United FC (SUFC) dan Melaka FC terpaksa 'turun pangkat' ke Liga Malaysia 3 (Liga M3) akibat kegagalan melunaskan gaji dalam tempoh yang ditetapkan.

Sekitar Ogos lalu, Sarawak United tular apabila pengurusan skuad Ngap Sayot sekali tidak membayar gaji pemain selama empat bulan dan hanya menyelesaikan perkara itu selepas menerima desakan daripada pelbagai pihak termasulah Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Pasukan Melaka pula sehingga kini dikhabarkan tidak melangsaikan hutang gaji pemainnya hampir eanam bulan, sehinggakan ada di antara tonggak kelab itu memohon pertolongan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Selain dua kelab itu, Perak FC turut tidak terlepas dari isu berkenaan apabila pada Mei 2022 dilaporkan ada pemain bertindak untuk memboikot sesi latihan ekoran kekecewaan tidak mendapat gaji.

Bagaimanapun, Perak FC sudah mendapat nafas baharu apabila pemilik baharu The Bos Gaurus, XOX Berhad berjaya menyelesaikan segala hutang kelab tersebut.

Oleh itu, pihak pengurusan bagi semua kelab Liga Super 2023 dinasihatkan untuk berbelanja secara berhemat dan sentiasa ukur baju di badan sendiri apabila ingin membawa masuk pemain bertaraf bintang.

2) Kurangkan kontroversi pengadil

WhatsApp Image 2023-01-01 at 20.55.59

Tangkap layar muat naik BBC Sport yang mengulas isu pengadilan di Malaysia.

Baru-baru ini, kecoh kemarahan penyokong bola sepak tanah air terhadap mutu pengadilan sewaktu perlawanan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 antara Vietnam dan Malaysia di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa minggu lepas.

Tidak usah berbincang mengenai perkara itu kerana kontroversi membabitkan mutu pengadilan turut sering berlaku dalam saingan Liga Malaysia sehingga Tunku Ismail pernah mencadangkan untuk menggunakan VAR.

Antara insiden yang masih menjadi ingatan penyokong adalah sewaktu pengadil memberi masa tambahan sehingga 10 minit pada perlawanan skuad Harimau Selatan menentang Negeri Sembilan FC pada Mac lalu.

Akibat masa tambahan itu juga, kapten skuad Jang, Zaquan Adha Abd Razak bertindak untuk meludah dan membaling bid dalam perlawanan berkenaan.

Selain insiden berkenaan, mutu pengadilan tanah air juga pernah mengundang perhatian media luar, BBC Sport ketika pertembungan antara JDT dan Selangor, yang mana pengadil perlawanan dikritik kerana memberi penalti kepada skuad Harimau Selatan.

3) Rundingan 'pintu belakang'

WhatsApp Image 2023-01-01 at 20.55.39

Perpindahan Ting ke JDT didakwa menggunakan 'pintu belakang'. — Facebook/JDT

Musim 2023 juga diharapkan tidak berlaku lagi rundingan perpindahan pemain melalui 'pintu belakang' kerana ia dilihat sebagai amalan yang tidak sihat untuk bola sepak Malaysia.

Antara isu perpindahan sensasi 'curi' pemain dari pasukan lain dalam Liga M ialah perpindahan bintang Harimau Malaya, Akhyar Rashid ke pasukan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, JDT pada 2018.

Pada musim 2022 pula kecoh membabitkan bekas tonggak Kuala Lumpur (KL) City, Danial Ting yang dikatakan perpindahannya ke skuad Harimau Selatan adalah menerusi pintu belakang.

Sebelum isu itu timbul, Ting disahkan meninggalkan skuad Warga Kota kerana tidak mahu mengambil suntikan vaksinasi namun tiba-tiba pada Ogos, namanya diumumkan sebagai pemain baharu JDT.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad turut pernah mengesahkan bahawa ada pasukan yang cuba untuk menggunakan 'pintu belakang' bagi mendapatkan khidmat Ting. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram