'Semua berhak main lawan Singapura... tak perlu banyak, jaringan awal lebih penting', Zainal Abidin titip pesan khas buat Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 01 Jan 2023

Sesi latihan Harimau Malaya menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Singapura bagi kempen Piala AFF 2022, Selasa ini. — Facebook/FAM

KEKALAHAN 0-3 Harimau Malaya di tangan Vietnam sememangnya menjadi tamparan besar buat pasukan kebangsaan namun perlawanan itu perlu segera dilupakan dan perlu bangkit dalam misi mendapat tiga mata bagi aksi seterusnya

Bagi meneruskan untuk ke saingan separuh akhir, Harimau Malaya kini dalam misi wajib menang ketika berhadapan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B, Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Selasa ini.

Rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan juga tidak memihak kepada Malaysia apabila tumpas 1-2 dalam aksi persahabatan pada 23 Mac 2022.

Meskipun kedengaran sukar untuk Malaysia menang menentang negara jiran itu namun bagi pemerhati sukan negara, Zainal Abidin Rawop, ia boleh menjadi jalan yang mudah jika pasukan di bawah bimbingan Kim Pan-gon itu bijak mengambil peluang yang terhidang.

WhatsApp Image 2023-01-01 at 17.23.29

Barisan pemain Harimau Malaya sewaktu sesi latihan menjelang perlawanan menentang Singapura. — Facebook/FAM

Menurutnya, barisan pemain perlu berkerjasama untuk mendapat jaringan awal ketika perlawanan itu kerana pasukan Singapura berkemungkinan hanya akan bermain secara bertahan berikutan satu mata sudah cukup melayakkan mereka ke pentas separuh akhir.

"Malaysia berpeluang untuk menang jika bijak mengambil peluang yang terhidang. Jangan lepaskan peluang. Singapura mungkin akan letakkan emas di hadapan pintu gol mereka. maksudnya bermain bertahan sebab mereka perlukan seri sahaja.

"Jika boleh dapatkan score awal. Dalam keadaan selesa main macam biasa tanpa perlu tekankan diri sendiri nak dapat gol banyak," katanya kepada Majoriti.

Keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Vietnam pada Jumaat lalu membolehkan Singapura mengumpul tujuh mata merampas tempat kedua Kumpulan B daripada Malaysia yang jatuh ke tempat ketiga dengan enam mata sementara Vietnam mempunyai kelebihan jaringan kekal sebagai pendahulu kumpulan dengan tujuh mata.

Mengulas mengenai siapa pemain yang patut diketepikan dalam perlawanan menentang Singapura, Zainal Abidin berpendapat bahawa semua layak untuk diturunkan namun pengendali Malaysia, Pan-gon perlu meletakkan strategi paling tepat bagi mendapatkan tiga mata berharga.

"Saya bukan orang yang sesuai untuk mengatakan siapa patut main, siapa patut tak. tapi pada pandangan saya Kim Pan-gon selepas tiga perlawanan dah nampak pemain yang dia ada dalam skuad ini.

"Semuanya berhak bermain. Sekarang Kim Pan-gon kena letak strategi paling betul sekali untuk menang dalam perlawanan itu," tambahnya.

Bukan itu sahaja, bagi Zainal Abidin yang juga pengulas sukan terkenal itu berkata, barisan pertahanan negara berkemungkinan mengalami sedikit masalah namun ia boleh diatasi dengan bantuan rakan pasukan lain.

WhatsApp Image 2023-01-01 at 17.23.35

Selasa ini juga akan menyaksikan siapa yang akan ditugaskan menjaga gawang Malaysia bagi perlawanan terakhir kumpulan B, Piala AFF 2022. — Facebook/FAM

"Penjaga gol Rahadiazli (Rahalim) dan Syihan (Hazmi) keduanya bagus. Pertahanan mungkin agak goyah tapi dengan bantuan sepasukan mereka boleh bermain dengan tenang.

"Di bahagian tengah kritikal, perlu kreatif untuk memecahkan tembok dan benteng Singapura yang akan bermain tujuh atau lapan orang pemain di barisan pertahanan. Penyerang jangan lepaskan peluang yang ada biar peluang nipis," pesannya kepada barisan pemain skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram