PERNAH menjadi tonggak utama Sri Pahang satu ketika dahulu, penyerang import, Matias Ruben Conti dikhabarkan bakal membuat kemunculan semula dalam Liga Super bagi musim 2023.
Banyak khabar angin yang mengatakan bahawa Conti akan kembali beraksi bersama skuad Tok Gajah, pasukan yang pernah disertainya satu ketika dahulu.
Malah, bersama Tok Gajah, pemain itu pernah membantu pasukan menjulang Piala FA pada 2014 sehingga digelar legenda dalam kalangan penyokong.
Namun, kehadiran semula Conti musim baharu nanti dikatakan bukan bersama Sri Pahang, sebaliknya dikaitkan dengan Negeri Sembilan FC.
Perkara itu disambut baik bagi penyokong skuad Jang yang beranggapan bahawa aura Conti masih padu seperti sebelum ini.
Tetapi, ada juga penyokong yang menyatakan bahawa Conti bukanlah pilihan yang terbaik.
Berikut adalah tiga sebab yang dinyatakan majoriti penyokong skuad Jang Hobin mengapa pemain Deportivo Armenio itu tidak patut bersama NSFC:
Matias Conti dikhabarkan akan bersama NSFC. — Facebook/Malayantigerfans
Faktor umur, 'kuda tua'
Berusia 32 tahun, Conti dilihat sudah dianggap sebagai 'kuda tua' dan tidak mampu membantu NSFC.
Malah, ramai yang risau dengan prestasi Conti sekadar menjadi penumpang dalam pasukan dan tidak membantu secara keseluruhan.
Ada juga yang beranggapan bahawa stamina Conti sudah tidak sebagus dahulu dan lebih baik merekrut pemain yang lebih muda.
Ukur prestasi semasa, bukan nostalgia
Satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah Conti sewaktu beraksi bersama Sri Pahang dahulu memang menjadi penyerang yang digeruni.
Paling diingati adalah tandukannya yang dianggap padu, tetapi itu adalah satu ketika dahulu.
Menjadi risiko buat pasukan apabila mengambil pemain berdasarkan kepada prestasi sebelum ini dan bukannya nostalgia dahulu.
Sukar bentuk kesefahaman
Ada sebahagian menganggap bahawa Conti memang cukup padu di dalam kotak penalti dan mampu menjaringkan gol jika berpeluang.
Namun, secara keseluruhan, Conti dilihat tidak mampu membentuk keserasian berpasukan dan ini akan merencatkan strategi yang direncanakan jurulatih NSFC, K. Devan.
Bagi penyokong, musim lalu menyaksikan ketiadaan persefahaman antara pemain yang menjadi punca prestasi tidak menentu pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram