Percaturan jadi realiti, Soleh Shukri bakal berkelana ke Sepanyol asah bakat sukan kegemaran sejak kecil


  • Podium
  • Rabu, 28 Dis 2022

Soleh Shukri tekad menukar minatnya kepada sukan bola sepak.

RESTU keluarga memberi impak besar dalam kehidupan Muhammad Soleh Ahmad Syukri apabila bakal mengembangkan sayapnya di Academy Malaga City FC yang berpangkalan di Sepanyol bermula Khamis, 29 Disember ini.

'Ubi muda' ini mempunyai cita-cita yang jelas dengan meletakkan Cristiano Ronaldo sebagai idola dalam dunia bola sepak.

Muhammad Soleh, 17 yang berasal dari Terengganu mengakui sukan bola sepak menjadi pilihannya sejak kecil dan mula mengasah bakatnya di Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, Terengganu.

"Sejak saya di bangku sekolah rendah, bola sepak merupakan hobi sehingga sekarang," ujarnya kepada Majoriti.

Bagaimanapun segalanya berubah apabila anak kepada pakar perut, usus dan hati, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md Salleh belajar di sebuah sekolah antarabangsa pada usia 15 tahun dan mula menceburi sukan bola keranjang.

Merasakan tidak puas kerana hobi sejak kecil tidak dapat diasah, Soleh memutuskan untuk kembali aktif dalam bola sepak.

WhatsApp Image 2022-12-27 at 8.41.31 PM

Muhammad Soleh mengakui sukan bola sepak menjadi pilihannya sejak kecil dan mula mengasah bakatnya di Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, Terengganu.

Walaupun mendapat tentangan keluarga pada mulanya, Soleh mahu membuktikan bahawa usahanya tidak sia-sia dan tidak akan berakhir begitu sahaja.

Lanjutan itu, Soleh mengorak langkah dengan berpindah ke sekolah baharu semata-mata untuk meneruskan minatnya dalam sukan bola sepak.

Dengan semangat yang tinggi, selama setahun Soleh menyertai FC 1Goal dan mengikuti latihan selepas waktu sekolah bagi meningkatkan skil dalam sukan kegemarannya sejak kecil lagi.

"Pelbagai pengalaman diperoleh hasil usaha jurulatih, Kizito Kizzy, malahan dia juga banyak membantu saya dari awal hingga sekarang termasuk mendorong untuk menyertai Academy Malaga City FC.

"Kembali mengorak langkah dalam dunia bola sepak selepas tergendala seketika bukan sesuatu yang mudah, saya perlu banyak belajar dan menguasai pelbagai teknik sepanjang hampir setahun latihan di FC 1GOal," katanya.

Bagi anak muda ini, peluang ke luar negara ini akan digunakan sebaiknya dan tentunya akan berusaha bersungguh-sungguh demi keluarga serta mengharumkan nama negara dalam tempoh setahun di Sepanyol.

"InshaALLAH, jika ada rezeki saya mahu beraksi dalam mana-mana kelab di Sepanyol mahupun di Amerika Syarikat kerana corak mereka bermain antara yang berintensiti tinggi," tambahnya.

Selain Soleh Shukri, hampir 10 pemain muda negara pernah memasuki akademi bola sepak serta pasukan pembangunan terkemuka itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram