ROMBAKAN format dan struktur liga oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membolehkan beberapa pasukan Liga Perdana layak ke divisyen teratas bola sepak tempatan secara automatik.
Ia termasuk pasukan kedua tercorot, Perak FC yang hanya berjaya mengumpul 16 mata dalam 18 perlawanan selepas berdepan tindakan tegas berikutan isu kewangan dan pengurusan awal musim lalu.
Kini, kehadiran pemilik baharu, XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd seolah-olah berjaya mengubah nasib pasukan itu dengan melakukan pelaburan secara besar-besaran.
Sepanjang jendela perpindahan Liga Malaysia, The Bos Gaurus (TBG) meneruskan agenda pemulihan reputasi pasukan dengan membawa masuk wajah baharu.
Antara pemain yang berjaya disambar khidmatnya ialah penjaga gol, Bryan See dan pertahanan kanan, Hafizal Mohamad yang masing-masing dibawa masuk dari Melaka United dan Terengganu FC.
Hal itu dilihat bertepatan dengan cita-cita ketua jurulatih, Lim Teong Kim yang memberi penekanan terhadap pelahiran bakat-bakat baharu dari peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan di laman media sosial, langkah tersebut seakan-akan tidak diterima baik dalam kalangan penyokong Perak FC dengan majoriti daripada mereka berasakan ketiadaan pemain senior akan membawa kesan.
Perkara tersebut dikatakan berpunca daripada keputusan pihak pengurusan yang melepaskan kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin dan penyerang sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor.
Kehadiran Teong Kim dijangka bakal membawa nafas baharu buat pasukan. — Facebook/Perak Football Club
Namun, bagi penyokong TBG menerusi yang menggunakan nama samaran Silver Retro, dia percaya dengan kemampuan skuad itu untuk musim depan di samping untuk masa depan pasukan.
"Keberadaan pemain muda penting untuk projek jangka masa panjang pasukan dan pada saya, Teong Kim dan kepimpinan Perak FC perlu berjiwa besar kerana penyokong Perak tak mampu bertahan jika pasukan kerap kalah.
"Pada saya, Teong Kim sudah biasa dengan bola sepak Malaysia, tapi perlu faham bahawa XOX adalah bisnes dan untung rugi perniagaan akan bergantung pada penyokong. Pada saya, kemampuan pasukan akan dilihat berdasarkan kualiti pemain import," katanya kepada Majoriti.
Perak FC sebelum ini tersingkir dari Liga Super selepas kehilangan tonggak pasukan pada 2021 apabila pihak pengurusan gagal untuk membayar gaji skuad.
Musim ini pula, skuad TBG terpaksa membariskan pemain muda bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Perdana, tetapi hanya berjaya mencatatkan empat kemenangan sepanjang musim.
Penyokong TBG pasti berharap untuk menyaksikan Perak FC dengan lebih megah musim depan. — Facebook/Perak Football Club
Dalam masa sama, Silver Retro turut berkata, dia lebih berpuas hati dengan prestasi dan persembahan pasukan sejak membawa masuk Teong Kim bagi membimbing kelab itu.
"Ada perubahan dalam beberapa aspek latihan ketika berada di bawah Teong Kim dengan perkara baharu yg diterapkan, suasana ceria dalam pasukan juga dapat dirasakan.
"Sebagai penyokong, saya masih berselera untuk turun menonton sesi latihan kerana pasukan masih mempunyai Wan Zack Haikal dan kehadiran Fadhil Idris akan membuatkan penyokong membanjiri padang latihan Perak," katanya.
Tambahnya, terdapat juga khabar angin yang berlegar dengan mengatakan bekas penyerang, V Saravanan bakal diperkenalkan sebagai pembantu dalam barisan kejurulatihan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram