Lee Tuck ada nilai ekstra, berpotensi lonjak 3 kelab elit Liga M ke tahap optimum


  • Podium
  • Isnin, 26 Dis 2022

Bersama Terengganu, Lee Tuck berjaya menjaringkan 23 jaringan dalam 57 penampilan sebelum ini. — Facebook/TFC

BARU-BARU ini, pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya, Lee Andrew Tuck membuat satu kejutan besar kepada penyokong Tok Gajah apabila mengumumkan tidak akan bersama pasukan itu bagi musim depan.

Punca Lee Tuck berpisah dengan Sri Pahang tidak didedahkan namun timbul spekulasi menyatakan pemain berusia 34 tahun meminta gaji sebanyak RM 90,000 sebulan daripada pihak pengurusan.

Screenshot 2022-12-25 at 10-37-54 Hogoh Pahang Hogoh Facebook

Tangkap layar dakwaan yang mengatakan Lee Tuck meminta gaji hampir RM 90,000.

Namun begitu, perpisahan Lee Tuck bersama Sri Pahang FC pastinya menarik beberapa pasukan Liga Super apabila khabar angin menyatakan tiga pasukan iaitu Terengganu FC (TFC), Kedah Darul Aman FC (KDA FC) termasuk Selangor FC sedang mengintai khidmatnya.

Pemain berketinggian 1.78 meter (m) itu baru-baru ini menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan apabila dia menampilkan aksi yang bagus semasa bersama skuad kebangsaan.

Dalam empat penampilan bersama Harimau Malaya, Lee Tuck sudah menjaringkan dua gol ketika bertemu Kemboja dan Maldives dalam aksi persahabatan.

1858497

Lee Tuck berjaya menjaringkan dua gol dalam empat penampilan bersama skuad kebangsaan.— Facebook/FAM

Aksi menyakinkan bersama Harimau Malaya mendapat pujian daripada penyokong tanah air dan mereka menyifatkan kelab baharu yang berjaya mendapatkan khidmatnya dianggap berbaloi walaupun sudah berusia 34 tahun.

Aksi positifnya bersama pasukan kebangsaan dan perpisahannya dengan skuad Tok Gajah pastinya membuatkan banyak pasukan mengintai khidmatnya untuk mengharungi saingan liga musim depan.

FB_IMG_1605869567098

Lee Tuck pernah bersama Terengganu sejak 2018 hingga 2020 sebelum menyertai TFC semula pada 2021 sebagai pemain pinjaman daripada Sri Pahang FC. — Facebook/TFC

1. Terengganu FC

Tidak perlu lagi dipertikaikan hubungan Lee Tuck dengan penyokong Terengganu bagaimana apabila suatu ketika dulu menjadi pemain penting buat skuad Penyu.

Lee Tuck pernah bersama Terengganu sejak 2018 hingga 2020 sebelum menyertai TFC semula pada 2021 sebagai pemain pinjaman daripada Sri Pahang FC.

Ketika bersama Terengganu, Lee Tuck berjaya menjaringkan 23 jaringan dalam 57 penampilan dan dia turut berbahaya apabila mengambil sepakan percuma.

Kemasukan Lee Tuck boleh memperbaiki barisan serangan TFC apabila pada musim depan mereka kehilangan beberapa tonggak utama seperti Faisal Halim, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

Namun, berkemungkinan khabar angin gaji yang diminta Lee Tuck akan jadi penghalang untuk pemain ini berhijrah ke negeri Darul Iman.

Lee Tuck pernah bersama Nafuzi ketika di Terengganu pada 2019 dan 2021.

2. Kedah Darul Aman FC

Selain TFC, Lee Tuck dikatakan bakal memperkuat pasukan Kedah Darul Aman FC musim depan.

Dalam satu ciapan di Twitter wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi melaporkan bahawa ada khabar angin yang mengaitkan Lee Tuck ke pasukan Kedah.

"Selepas mengumumkan tidak lagi bersama Sri Pahang FC, tonggak naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck dikaitkan bakal sertai Sang Kenari musim depan.

"Jika benar, ianya satu 'nilai tambah' yang cukup baik buat Kedah DA," katanya di Twitter.

Lee Tuck dilihat sebagai prospek terbaik bagi memperkuat perancangan pasukan kendalian Nafuzi Zain musim 2023.

Ini merupakan satu nilai tambah buat Kedah apabila sebelum ini, Lee Tuck pernah bersama Nafuzi ketika di Terengganu pada 2019 dan 2021.

IMG_6400

Lee Tuck boleh membantu memperkuatkan barisan serangan Selangor yang tumpul pada musim lalu. Facebook/MFL

3. Selangor FC

Pada masa sama, Gergasi Merah pada musim depan telah berbelanja besar apabila berjaya membawa masuk tiga pemain kebangsaan iaitu Ruventhiran, Khuzaimi Piee dan Faisal Halim.

Sejak bekas ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe (TCH) mengambil alih skuad Gergasi Merah, dia berjaya menaikkan mutu permainan individu setiap pemain di kem Selangor.

Ini dibuktikan apabila skuad kebangsaan bagi mengharungi Piala AFF kali ini rata-ratanya dibarisi pemain Selangor.

Jika Lee Tuck menyertai Selangor, berkemungkinan TCH boleh membantu memperbaiki dan menggilap semula prestasinya seperti mana ketika dia berada di Terengganu dulu, sekali gus memastikan dirinya berada di tahap terbaik setiap kali dipanggil menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Dalam pada itu, pemain naturalisasi kebangsaan ini turut boleh membantu memperkuatkan barisan serangan Selangor yang tumpul pada musim lalu.

Malah, Selangor antara pasukan mempunyai bajet yang besar pastinya tidak menjadi masalah untuk membayar gaji bulanan Lee Tuck yang dianggap cukup tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram