SEORANG wanita warga asing yang dikenali sebagai 'Karen KLIA' dikenakan kompaun sebanyak RM100 berikutan aksi biadabnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, wanita tersebut melakukan aksi itu selepas berang permintaannya untuk keluar dari pesawat yang dinaikinya ditolak.
"Wanita itu sudah masuk ke dalam pesawat sebelum mendakwa bahawa dia telah tertinggal beberapa barangannya. Dia kemudian meminta untuk keluar bagi mendapatkannya, namun dia tidak dibenarkan berbuat demikian. Oleh sebab itu, dia membuat kecoh.
"Dia sudah pun ditahan dan kami mendakwanya sebagai berkelakuan tidak sopan dan didenda RM100," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular video berdurasi 16 saat memaparkan wanita itu melemparkan kata-kata kesat terhadap kakitangan darat sebuah syarikat penerbangan.
Dalam video berasingan, wanita berkenaan turut dilihat menampar meja kaunter.
Difahamkan, wanita itu secara lisan 'menyerang' kakitangan darat selama dua hari iaitu pada 25 dan 26 Disember.
"Apa yang anda lakukan jika orang seperti ini menyerang anda tanpa sebab?" tulis pengguna TikTok @missssssyl, yang memuat naik video berkenaan.
Bagaimanapun, @missssssyl enggan memberikan butiran lanjut mengenai kejadian itu, sambil menambah dia tidak berniat untuk menularkan kes itu.
Karen merupakan istilah yang digunakan bagi menggambarkan seorang wanita yang mempunyai rasa hak yang tinggi atau sentiasa betul. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram