Budak lelaki maut didera di Batu Pahat, Permaisuri Johor zahir rasa sedih


  • Primer
  • Khamis, 29 Dis 2022

Raja Zarith (dua dari kiri) menerima menghadap Amir Nasruddin (kiri), Kamarul Zaman (dua dari kanan) dan Visvanathan-Suresh (kanan) pada Rabu. — Facebook/The Royal Johor

PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menzahirkan rasa sedih apabila menerima perkhabaran kes kematian kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat, Johor pada Isnin lepas.

Baginda bertitah agar seluruh rakyat Malaysia supaya lebih peka dan mengambil berat akan keselamatan kanak-kanak.

"Sungguh memilukan hati saya mendengar penerangan daripada Ketua Polis (Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat), sehingga beliau sendiri menitiskan air mata. Ia mengingatkan saya kepada kes mendiang ‘Baby Bala’ pada tahun 1990 yang turut membawa kepada penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001.

"Sebagai seorang ibu dan juga nenek, saya bukan sahaja menyeru, bahkan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya lebih peka dan ambil berat akan keselamatan kanak-kanak. Setiap nyawa, tidak ternilai harganya," titah baginda menerusi hantaran di Facebook The Royal Johor.

Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap Kamarul Zaman bagi menerima persembahan makluman mengenai fakta-fakta kes itu di Istana Bukit Serene pada Rabu.

Turut hadir pada pertemuan itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Datuk Amir Nasruddin dan Presiden Johor Women’s League (JEWEL), Thanam Visvanathan-Suresh bagi menyampaikan pandangan daripada sudut perundangan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Permaisuri Johor turut bertitah agar kematian kanak-kanak itu tidak sia-sia dan menjadi peringatan kepada masyarakat untuk lebih peka dalam usaha melindungi golongan itu.

"Ada pepatah menyebut satu kampung diperlukan untuk membesarkan seorang kanak-kanak. Kanak-kanak mengharapkan dan memerlukan kita ahli masyarakat untuk menjaga keselamatan mereka. Janganlah kita lepas tangan sehingga terjadi penderaan berlarutan dan kehilangan nyawa.

"Kita semua ada peranan yang amat penting dalam masyarakat iaitu melindungi kanak-kanak daripada didera. Tanggungjawab kita adalah amat besar. Jangan lupa itu adalah amalan dari ALLAH Yang Maha Esa," titah baginda.

Selasa lepas, Kamarul Zaman dilaporkan berkata, kanak-kanak berusia empat tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail sejak 23 Disember, setelah dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang sebelum meninggal dunia, Isnin lepas.

Mangsa dijaga oleh kakaknya selepas ibu bapa mereka dihukum penjara kerana kesalahan dadah sebelum diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram