Henti salahkan satu sama lain, MUFC-MUSA didesak segera selesai isu tunggakan gaji pemain — PFAM


  • Podium
  • Selasa, 27 Dis 2022

Tunggakan gaji membabitkan Melaka United FC sudah mencecah enam bulan. — Facebook/ PFAM

TUNGGAKAN pembayaran gaji pemain Melaka United FC (MUFC) nampaknya memasuki fasa baharu selepas beberapa pemain semakin berani tampil membuat pendedahan berhubung perkara itu di media sosial masing-masing.

Terbaharu, pemain pertahanan MUFC, Fauzan Mohd Fauzi meluahkan kekecewaan berkaitan isu tunggakan gaji enam bulan yang dihadapi di kelab yang sudah dijenamakan semula sebagai Harimau Melaka FC itu.

Kenyataan di Instagram pada Selasa itu sekali gus membongkarkan rahsia serta masalah dalaman pasukan itu selepas sekali lagi terpalit dengan isu tunggakan gaji sejak Ogos lalu.

lead - 4

Pemain pasukan Melaka United FC mula memberontak di laman Instagram peribadi apabila mendedahkan isu tunggakan gaji dihadapinya. — Instagram/Fauzan Fauzi

Ketua Pegawai Eksekutif Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail berkata, lebih daripada 25 pemain MUFC mengemukakan aduan rasmi kepada pihaknya sejak Ogos lepas.

Menurutnya, kes itu sudah dibawa ke Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengarahkan pengurusan Melaka United FC melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh segera.

Begitupun, Izham memaklumkan sehingga sekarang, pihak pengurusan tidak memberi respons berhubung pembayaran gaji kerana pengurusan MUFC dan Persatuan Bola sepak Melaka United (MUSA) saling menuding jari antara satu sama lain.

"PFAM mendesak MUFC untuk membuat pembayaran secepat mungkin. Pemain sudah menanggung masalah ini berbulan-bulan lamanya.

"Kes ini sedang diuruskan tapi ia sangat delicate dan complicated. Apabila dah lebih enam bulan, kita pun tak boleh halang mereka (pemain) untuk ceritakan di sosial media masing-masing," katanyanya kepada Majoriti.

PFAM-IZHAM-ISMAIL

Izham berkata, MUFC dan MUSA terus digesa membuat pembayaran seperti yang diarahkan oleh FAM sebelum ini.

Izham berkata, sehubungan itu, MUFC dan MUSA digesa membuat pembayaran seperti yang diarahkan oleh FAM sebelum ini.

"Salah satu pihak kena bayar, tapi sekarang mereka menyalahkan satu sama lain. MUSA salahkan MUFC dan begitu juga sebaliknya.

"Akhirnya pemain yang jadi mangsa keadaan. PFAM pun tengah tunggu pembayaran ini dibuat kepada pemain. Bagaimana cara mereka nak melunaskan gaji itu perlulah dibincang di peringkat mereka.

"Apa yang penting sekarang, pemain-pemain ini mendapat gaji tertunggak mereka," katanya.

Ditanya jika ada tempoh masa diberikan kepada MUFC dan MUSA untuk berbuat demikian, Izham berkata, perkara itu di luar kawalan PFAM kerana ia bergantung kepada kesediaan kedua-dua entiti itu menyelesaikan masalah berkenaan.

"No one can saves this matter other than MUFC (Tiada pihak yang boleh tangani isu ini selain MUFC) atau MUSA sendiri. PFAM hanya boleh desak pihak terbabit untuk mencapai kata putus dalam pembayaran gaji pemain," katanya.

1751066

Kongres Luar Biasa (EGM) MUSA pada 25 September lalu dihadiri Nur Azmi (dua kiri).

Sebelum ini, Presiden MUSA, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad pada 25 September lalu dilaporkan berkata, pemilik MUFC, Kenteam Sdn Bhd diminta menyelesaikan segala tunggakan gaji yang berlaku memandangkan MUSA sama sekali tidak terlibat berkaitan aspek pembayaran.

Perkara itu, katanya, termaktub dalam klausa yang ditandatangani Datuk Seri Justim Lim ketika mengambil alih pasukan itu pada 14 Ogos 2020.

“Dalam perjanjian oleh KenTeam Sdn. Bhd. sewaktu mengambil alih MUFC, nama MUSA tidak tertera sebaliknya atas nama seorang individu dengan saham 30 peratus manakala 70 peratus milik syarikat terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Justin menerusi kenyataan pada 4 Disember lalu pula dilaporkan kesal dengan sikap lepas tangan MUSA yang didakwa mengabaikan kerjasama pihaknya bersama persatuan berkenaan.

Menurutnya, MUSA tidak menunaikan tanggungjawabnya selaku pemilik bersama kelab dan tidak mengeluarkan sebarang wang seperti dalam perjanjian.

Apa yang lebih mengecewakan lagi, MUSA juga bersikap lepas tangan dengan menubuhkan pasukan baharu untuk bertanding di Liga M3 (Harimau Melaka) dengan niat dan tujuan untuk mengendahkan tanggungjawab mereka kepada MUFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram