'Ada player JDT pun sukar menang', HM diramal kalah lawan Vietnam


  • Podium
  • Isnin, 26 Dis 2022

Malaysia kini mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata. — Facebook /FAM

SELEPAS berjaya merekodkan dua kemenangan berturut-turut sepanjang saingan Kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022, Malaysia akan berdepan antara pasukan terbaik Asia Tenggara iaitu Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Selasa.

Ramai penyokong bola sepak tanah air berpendapat pertembungan Harimau Malaya menentang skuad Golden Star Warriors itu merupakan cabaran sebenar untuk menguji kehebatan pasukan Malaysia pada kempen Piala AFF 2022.

Masakan tidak, kali terakhir Harimau Malaya menumpaskan Vietnam adalah pada 2014 iaitu ketika pentas Piala AFF dengan keputusan 4-2 dan selepas perlawanan itu Malaysia mencatakan enam kekalahan serta satu seri sepanjang bertemu pasukan tersebut.

Ada yang mulai berteka-teki adakah Malaysia mampu meneruskan rekod tanpa bolos dan menang sepanjang empat perlawanan antarabangsa termasuk dua menerusi Piala AFF 2022, ataupun pasukan tanah air masih buntu menewaskan pasukan di bawah bimbingan Park Hang Seo itu.

Untuk rekod, pada dua perlawanan persahabatan, Malaysia berjaya menumpaskan Kemboja 4-0 dan Maldives 3-0. Pada aksi Kumpulan B pula, Harimau Malaya menewaskan Myanmar 1-0 dan Laos 5-0.

WhatsApp Image 2022-12-26 at 16.51.18

Pan-gon (kanan) dan Faisal Halim ketika sidang media praperlawanan antara Malaysia dan Vietnam sempena saingan Piala AFF 2022. — Facebook /FAM

Tampil mengulas perlawanan Harimau Malaya menentang Vietnam pada Selasa ini, bekas pemain bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir meramal pasukan di bawah bimbingan Kim Pan-gon itu akan kalah di tangan Vitenam walaupun merekodkan tanpa kalah dalam empat perlawanan sebelum ini.

Menurutnya, dengan ketiadaan seramai 14 pemain termasuk 11 dari Johor Darul Takzim (JDT) yang juga tonggak utama Harimau Malaya, legenda bola sepak negara itu melihat ia pasti menyukarkan anak-anak buah Pan-gon untuk menembusi gawang juara Piala AFF 2008 dan 2018 itu.

Tambahnya lagi, pasukan Malaysia perlu sedar bahawa jurang perbezaan ranking juga boleh menjadi ukuran kepada nasib Harimau Malaya pada Selasa nanti.

Berdasarkan ranking dunia semasa, skuad Golden Star Warriors berada jauh lebih baik di posisi ke-96 sementara Malaysia yang muncul juara Piala AFF pada 2010, di kedudukan ke-145.

"Dengan pemain yang kita ada dan ketiadaan pemain JDT, saya rasa agak sukar menang. Jika sebelum ini ada pemain JDT pun kita tak menang. Kali terakhir Malaysia menang pun 2014.

"Vietnam makin meningkat. Mereka hanya kehilangan beberapa pemain yang cedera, kita 14 pemain utama tiada. Saya rasa agak susah untuk kita dapatkan gol lawan Vietnam. Prediction saya kita kalah.

"Walaupun kita merekodkan tanpa bolos sebelum ini, kita kena tengok siapa lawan kita sebelum ini. Laos tiada langsung cubaan menyerang. Semasa lawan Myanmar pun kita susah nak menang. Kita tiada cabaran lagi dengan dua perlawanan sebelum ini. Esok cabaran sebenar," katanya kepada Majoriti.

Bukan itu sahaja, bekas pemain Pahang itu juga berpendapat Malaysia juga akan mengalami kepayahan apabila bertembung pasukan lain seperti Thailand, Indonesia dan malah Filipina.

WhatsApp Image 2022-12-26 at 16.51.20 (1)

Antara aksi pemain sewaktu perlawanan Malaysia berjaya menumpaskan Laos 5-0. — Facebook /FAM

Tambahnya, perlawanan sebelum ini tidak boleh menjadi ukuran kepada kejayaan Harimau Malaya kerana banyak benda yang perlu diperbaiki bagi memberi saingan dengan pasukan di kedudukan ranking tinggi dari Malaysia.

"Jika tengok perlawanan sebelum ini, saya tak boleh nak letakkan dalam prestasi terbaik. Gol senang pun kita tak boleh nak score. Saya rasa banyak benda perlu diperbaiki.

"Perlu perkemaskan permainan. Ambik contoh Piala Dunia, kena bandingkan antara kejohanan itu jadi boleh belajar. Short pass pun masih lemah. Pasukan Piala Dunia tidak main long pass, kebanyakan dia main short pass.

"Pemain naturalisasi pun tidak bawa kelebihan, patut dengan badan mereka boleh lawan pasukan lawan. Semasa lawan Myanmar pun kita banyak kehilangan bola. Cuba open up game dan short passes. Semua ini taktikal. Coach dan pemain kena ambil perhatian. Pemain kena kreatif ketika beraksi," jelasnya.

Malaysia kini mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata, Vietnam dan Singapura yang baru beraksi sekali masing-masing berkongsi tiga mata di posisi kedua dan ketiga, manakala Myanmar dan Laos di kedudukan dua tercorot tanpa mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram